JM54: Penganjur sedia hadapi segala kemungkinan
PENGANJUR perlumbaan jelajah berbasikal tertua di Asia, Jelajah Malaysia ke-54 (JM54), berwaspada sekiranya perlumbaan lima peringkat sejauh 728.45 kilometer (km) pada 27 Februari hingga 2 Mac depan terpaksa berhadapan dengan keadaan cuaca tidak menentu termasuk banjir.
Pengarah acara JM54, Jamaludin Mahmood, berkata pihaknya telah membuat percaturan terbaik berhubung laluan yang bakal digunakan selain menyediakan pelan alternatif bagi menghadapi kemungkinan tersebut.
“Pihak kami sudah melakukan tinjauan terhadap kesemua laluan terlibat dan tidak menolak kemungkinan perkara itu (banjir) boleh berlaku. Tetapi bulan Februari nanti mungkin kita sudah keluar daripada musim banjir... jadi boleh dikatakan 80 peratus laluan yang akan digunakan adalah selamat buat pelumba.
“Bagaimanapun, kami tetap mempunyai pelan kontingensi misalnya engubah laluan tersebut jika keadaan itu berlaku,” katanya pada sidang media memperkenalkan laluan perlumbaan JM54, di sini, pada Jumaat.
Jamaludin turut berkata, sebanyak 24 pasukan dengan 120 penyertaan pelumba profesional dari benua Eropah, Asia, Oceania dan Amerika telah mengesahkan penyertaan sekali gus menghangatkan perlumbaan itu setelah lebih empat tahun tertangguh akibat Covid-19.
“Walaupun terdapat laluan pendakian di peringkat keempat, laluan JM54 kali ini adalah perlumbaan yang laju, teknikal dan sangat sesuai terutamanya kepada jaguh pecut. la pasti menarik untuk ditonton oleh peminat sukan berbasikal,” katanya.
Untuk rekod, perlumbaan diklasifikasikan sebagai kategori 2.2 oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
PERINGKAT PERLUMBAAN
Peringkat 1
Melaka ke Bandar Baru Bangi sejauh 161.96 km
Peringkat 2
Setia Alam-Cyberjaya (149.98 km)
Peringkat 3
Shah Alam-Teluk Intan (154.30 km)
Peringkat 4
Bagan Datuk-Tanah Rata (139.69 km)
Peringkat 5
Tapah-Meru Raya (122.52 km)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!