Jangan pandang Jepun sebelah mata

Arul mahu pemain Malaysian Tigers belajar daripada pengalaman menentang Afrika Selatan apabila berdepan pasukan Jepun.
Arul mahu pemain Malaysian Tigers belajar daripada pengalaman menentang Afrika Selatan apabila berdepan pasukan Jepun.
A
A
A

PEMAIN skuad hoki negara diingatkan tidak memandang mudah keupayaan Jepun apabila kedua-dua pasukan berentap untuk perlawanan klasifikasi kedudukan 13 hingga 16 Piala Dunia 2023 di Stadium Birsa Munda, Rourkela, India pada Sabtu.

Malah, pengendali Malaysian Tigers, Arul Selvaraj menegaskan kemenangan tiga kali ke atas pasukan negara matahari terbit itu tidak boleh dijadikan kelebihan pada perlawanan kali ini.

Sebaliknya Arul berkata, semua pasukan yang berada di Piala Dunia 2023 kali ini tampil dengan barisan terbaik masing-masing berbanding sebelum ini.

“Ya, pasukan negara sudah pun menewaskan Jepun sebanyak tiga kali sebelum ini, namun harus diingat setiap kali berdepan Jepun corak permainan mereka ternyata berbeza-beza.

“Tidak dinafikan juga rekod perlawanan sebelum ini berpihak kepada pasukan Malaysia, namun ini adalah Piala Dunia yang merupakan perlawanan terakhir pasukan bagi meraih kedudukan terbaik.

“Sudah pastinya Jepun pun mahu menghabiskan kejuaraan Piala Dunia ini dengan kedudukan terbaik, sekali gus menghadiahkan kebanggaan buat negara dan penyokong mereka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Sebagai rekod, sepanjang tiga pertemuan dengan Jepun, tahun lalu, Malaysia menang kesemua perlawanan iaitu 5-0 pada Piala Asia di Jakarta (Mei), 4-2, pada Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh (November) dan 5-1 pada Piala Negara-Negara di Afrika Selatan, Disember lalu.

Pada masa sama, Arul mahu pemain negara belajar daripada pengalaman berdepan Afrika Selatan sebelum ini.

“Pemain-pemain Malaysian Tigers perlu menilai sendiri persembahan masing-masing sepanjang perlawanan berdepan Afrika Selatan semalam.

“Ia terutama perkara-perkara asas permainan hoki yang menyaksikan terlalu banyak kesilapan individu,” katanya.

Sementara itu, Arul mengakui tetap bangga apabila sasaran ditetapkan kali ini diterjemahkan oleh pemain dengan keputusan yang positif.

“Ada sedikit sebanyak sasaran yang kita letak apabila berada di sini, salah satunya beri aksi terbaik berdepan Belanda bagi meningkatkan prestasi pasukan.“Kemenangan ke atas Chile dan New Zealand juga berjaya diraih. Kita berjaya capai sasaran keluar daripada peringkat kumpulan.

“Cuma sasaran ke suku akhir tidak tercapai apabila tewas kepada Sepanyol, namun saya bangga persembahan serta komitmen dalam kalangan pemain.

“Apabila kecundang kepada Sepanyol, kita kemudian letak sasaran mengakhiri saingan di kedudukan sembilan hingga ke-12 tetapi tidak kesampaian apabila tewas kepada Afrika Selatan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!