UMNO mulakan 'pembersihan' parti
MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Jumaat akhirnya memberikan kepastian berhubung kedudukan beberapa pemimpin nama besar di dalam parti tersebut.
Dua pemimpin diumumkan dipecat semalam ialah bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan selepas selesai mesyuarat MKT berkata, keputusan pemecatan itu dibuat atas pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).
Dalam pada itu, UMNO turut mengumkan penggantungan selama enam tahun beberapa pemimpinnya seperti Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan.
Turut menerima nasib sama ialah Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Datuk Seri Mohd Salim Sharif.
Parti itu turut mengambil keputusan memecat lima orang ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan orang ahli UMNO Bahagian Putrajaya, Dua orang ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 orang ahli UMNO dari negeri Pahang.
Dengan perkembangan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akhirnya mengotakan janjinya untuk melaksanakan keputusan dicapai pada PAU baru-baru ini bagi melaksanakan langkah pembersihan besar-besaran di dalam parti itu.
Begitupun, masih terlalu awal untuk menjangkakan kesan bakal dialami oleh UMNO ekoran daripada langkah tersebut.
Dengan tindakan 'pembersihan' tersebut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu pastinya akan memiliki ruang dan lebih fokus untuk merangka strategi baharu membawa parti itu mengikut acuannya.
Pada masa sama, ia juga memberi mesej keras kepada mana-mana pemimpin lain yang dilihat sebelum ini mempunyai pendirian bertentangan dengan beliau.
Bagaimanapun, tindakan memecat beberapa nama besar seperti Khairy dan Shahril yang sebelum ini disifatkan sebagai pemimpin masa depan parti itu pastinya memberi kesan terhadap usaha imej UMNO khususnya dalam kalangan anak Muda.
Dalam pada itu, UMNO mengumumkan bahawa pemilihan parti akan diadakan bermula 1 Februari hingga 18 Mac ini.
PAU2022 yang diadakan pada 11 hingga 14 Januari lalu membuat keputusan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti berkenaan iaitu Presiden dan Timbalan Presiden.
ARTIKEL BERKAITAN: Tidak tunduk dipecat daripada UMNO: KJ
ARTIKEL BERKAITAN:Keputusan Presiden, MKT lemahkan kebangkitan UMNO
ARTIKEL BERKAITAN:UMNO pecat KJ, Hishammuddin dan Shahril digantung keahlian
ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] UMNO gantung keahlian Noh Omar
ARTIKEL BERKAITAN:Noh Omar dipecat selepas pertikai penggantungannya
ARTIKEL BERKAITAN:Noh hadir mesyuarat MKT UMNO
ARTIKEL BERKAITAN:Pas Selangor terbuka terima Noh, ahli UMNO
ARTIKEL BERKAITAN:Pembersihan bebaskan UMNO dari 'gunting dalam lipatan'
ARTIKEL BERKAITAN:Pembersihan UMNO: 'Jangan pecat bekas pemimpin'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!