Kerjasama PTPTN, UIAM tingkat kesedaran penabungan pendidikan
SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan penabungan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dan bayaran balik pinjaman pendidikan.
Melalui langkah strategik itu, kedua-dua pihak bersetuju mengadakan kerjasama antaranya dalam membudayakan amalan penabungan, meningkatkan kefahaman dan kesedaran pelajar tentang bayaran balik pinjaman serta memperkasakan pembangunan penyelidikan dan pendidikan tinggi.
“Sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara, misi utama PTPTN ialah menggalakkan masyarakat memulakan simpanan dari seawal usía satu hari, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.
“Kerjasama dengan UIAM sangat dialu-alukan dalam meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan perancangan kewangan yang baik sekali gus dapat mengelak keberhutangan melampau di usía muda serta membantu dalam pembentukan sahsiah dan akhlak yang baik pada masa depan,” menurut PTPTN dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Majlis menandatagani MoU tu diadakan pada Jumaat di Kampus UIAM Gombak, Kuala Lumpur dan disempurnakan Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Dalam pada itu, PTPTN memaklumkan, kerjasama berkenaan merangkumi pelbagai skop antaranya membudayakan penabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi seluruh warga UIAM dan membangun penyelidikan serta pembangunan untuk melahirkan idea baru bagi meningkat kefahaman pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dan kepentingan penabungan.
Selain itu, ia juga menyasarkan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan graduan yang berkualiti agar, menjalinkan jaringan kerjasama bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui tanggungjawab sosial korporat antara PTPTN dan UIAM.
Kerjasama berkenaan turut membabitkan usaha memastikan penyampaian informasi atau promosi PTPTN menerusi billboard di premis UIAM dan jaringan program kerjasama dengan alumni universiti berkenaan.
PTPN dalam kenyataan itu turut memakluman, badan itu optimis dengan bantuan galakan dari pihak universiti.
"Ia dapat mendekati peminjam dan melaksanakan pelbagai program secara bersama untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan bayaran balik pinjaman.
“Sehingga 31 Disember 2022, PTPTN telah membantu seramai 57,954 pelajar yang mengikuti pengajian di UIAM dalam pelbagai bidang melalui pemberian pinjaman pendidikan sekali gus memberi peluang kejayaan kepada mereka,” ujar kenyataan itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!