Caicedo mohon Brighton 'jualnya' ke Arsenal

Brighton mahu berhijrah ke Arsenal. - Foto Agensi
Brighton mahu berhijrah ke Arsenal. - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN muda, Moises Caicedo mahu mencari pengalaman baharu di Arsenal dan memohon Brighton melepaskannya demi masa depan kedua-dua pihak.

Pemain berusia 21 tahun itu berkata, perpindahannya juga bakal mengukir rekod baharu kelab menerusi tawaran harga 60 juta pound (RM315.72 juta).

Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal sebelum ini menawarkan untuk membeli pemain tengah Ecuador itu pada harga itu, namun ditolak oleh Brighton.

“Saya bangga dapat membawakan rekod perpindahan untuk Brighton bagi membolehkan mereka melabur untuk masa depan kelab,” katanya.

Caicedo berharap Brighton memahami situasi itu kerana ia merupakan peluang keemasan buatnya.

“Penyokong akan sentiasa mengingati saya dan mereka juga akan sentiasa berada di hati.

“Jadi saya harap mereka boleh faham mengapa saya mahu mengambil peluang keemasan ini,” kata Caicedo.

Pengendali Brighton, Roberto De Zerbi masih mahu mengekalkan Caicedo sehingga akhir musim ini.

“Dia pemain yang bagus. Saya harap dia boleh kekal bersama kami sehingga akhir musim kerana ia adalah jalan terbaik buatnya dan kelab,” katanya.

Brighton sebelum ini melepaskan penyerang Belgium, Leandro Trossard kepada Arsenal pada harga 27 juta pound (RM142.07 juta) ketika jendela perpindahan bulan ini.

Caicedo, yang turut dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea untuk bersama bekas pengendalinya Graham Potter, mempunyai kontrak dengan Brighton sehingga tahun 2025.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!