Statut Rom: Keputusan tarik diri halang anasir ambil kesempatan
KUALA LUMPUR - Keputusan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada awal bulan ini bertujuan menghalang mana-mana pihak daripada cuba mengambil kesempatan atas kekeliruan rakyat berhubung perjanjian itu.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, meskipun Kabinet yang membuat keputusan itu berpendapat perjanjian berkenaan adalah penting bagi membantu idealisme Malaysia memainkan peranan lebih aktif di peringkat antarabangsa, keutamaan harus diberikan untuk memelihara keamanan dan kesejahteraan rakyat negara ini.
"Ketika Kabinet membuat keputusan untuk tidak meneruskan usaha meratifikasi, kemungkinan adanya 'deep state' atau aparat tidak demokratik ambil kesempatan.... (jadi keputusan untuk menarik diri) adalah bagi mengelak bencana yang lebih besar.
"Apabila kekeliruan emosi dimainkan, kita takut kalau berlaku usaha untuk menjatuhkan kerajaan, khususnya jatuhkan Perdana Menteri," katanya dalam rancangan Ruang Bicara Bernama News Channel (BNC) yang bersiaran pada Rabu.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 5 April mengumumkan penarikan diri Malaysia daripada meratifikasi statut itu berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat.
Malaysia, yang menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada 4 Mac dan menyerahkan dokumen berkenaan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari yang sama, boleh menarik balik surat cara itu sebelum Jun tahun ini.
Difahamkan Malaysia kini menunggu maklum balas daripada pihak ICC berhubung keputusan itu kerana belum pernah ada mana-mana negara berbuat demikian sebelum meratifikasi perjanjian tersebut.
ICC adalah mahkamah jenayah antarabangsa pertama berasaskan perjanjian, bertujuan menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah paling serius yang membimbangkan masyarakat antarabangsa melibatkan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang serta jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.
Berikut adalah intipati temu bual Bernama dengan Saifuddin yang dirakam di Wisma Bernama di sini baru-baru ini.
Bolehkah Datuk menjelaskan kekeliruan mengenai Statut Rom dalam kalangan rakyat Malaysia?
Saifuddin: Ada tiga perkara. Pertama, soal undang-undang - soal ICC itu, apa sebenarnya ICC, apa yang bukan ICC tetapi digambarkan sebagai ICC. Kedua, tentang proses kabinet atau kerajaan membuat keputusan untuk meratifikasi ICC. Ketiga, di manakah punca atau apakah salah faham atau kekeliruan yang telah berlaku?
Orang ramai tidak perasan. Malaysia antara negara yang menubuhkan ICC. Kita antara yang menandatangani proses untuk menubuhkan ICC pada 1998.
Mengapakah selepas 20 tahun baru kita membuat keputusan untuk menyertai Statut Rom?
Saifuddin: Sebenarnya proses telahpun bermula pada zaman kerajaan BN. Bahkan Kabinet pernah pada 2011 meluluskan, membuat keputusan untuk meratifikasi ICC tetapi tidak dilanjutkan. Jadi tidak timbul persoalan pada masa itu. Cuma sekarang baru timbul persoalan-persoalan. Jadi kita akan tanya balik kenapa tidak timbul persoalan-persoalan itu pada masa kerajaan BN cuba atau sudah membuat keputusan tetapi tidak meneruskan usaha untuk meratifikasi?
Kali ini, pada 12 Disember tahun lalu Kabinet membuat keputusan untuk meratifikasi. Pada 4 Mac saya menandatangani, kita maklumkan hasrat itu di PBB. Kenapa sekarang? Saya fikir begini... kerajaan PH mahu memainkan peranan lebih aktif di pentas antarabangsa.
Ini soal jenayah besar yang telah disebutkan. Kita bayangkan empat jenayah besar ini tentu kita tiada niat untuk sama sekali terlibat. Kita tidak pernah melakukannya, kita tidak ingin melakukannya dan kita selama ini bersuara tegas dan vokal.
Misalnya Palestin dan Rohingya yang sudah lama menjadi isu antarabangsa tetapi seperti tiada penghujung. Satu daripada kaedah ialah membawa penjenayah-penjenayah perang ke muka pengadilan dan ICC adalah antara atau satu daripada tempatnya. Saya tidak kata kita hendak bawa mana-mana jeneral Myanmar atau mana-mana pemimpin Israel (ke ICC). Kita belum lagi sampai di situ. Tetapi seandainya kita menandatangani, kita boleh main peranan yang lebih aktif untuk membawa penjenayah-penjenayah perang ke muka pengadilan dan ICC adalah tempatnya.
Apakah kerugian kepada Malaysia jika kita tidak sertai Statut Rom?
Saifuddin: Ada orang mengatakan kalau kita menjadi negara pihak kepada ICC, mungkin negara atau pemimpin kita akan dihadapkan (ke ICC). Sebenarnya, sama ada kita tandatangan atau tidak ICC, andainya ada orang Malaysia yang terlibat dengan empat jenayah besar itu, kita masih boleh dihadapkan ke tribunal antarabangsa seperti yang berlaku kepada Yugoslavia. Negara masih boleh dibawa ke pengadilan yang lagi satu, ICJ, yakni Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Jadi, maknanya kita tandatangan atau tidak, kita masih boleh kena tribunal. Kita boleh kena Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Namun, apa yang sedang berlaku kepada Myanmar sekarang kerana kes Rohingya, mereka bukan negara pihak ICC, tetapi ICC sudah memulakan siasatan terhadap Myanmar. Maksudnya, walaupun kita bukan negara ICC, kita masih boleh dihadapkan ke ICC seandainya terlibat.
Sebaliknya, jika kita menjadi negara pihak ICC, kita boleh mencadangkan hakim, kita boleh terlibat sebagai lembaga pengarah, kita boleh memainkan (peranan) dengan cara yang aktif.
Saya bagi contoh, minggu lepas saya ke Myanmar bertemu dengan Aung San Suu Kyi. Kita rancang supaya saya pergi ke Myanmar bertemu Aung San Suu Kyi selepas meratifikasi ICC, jadi adalah perkara yang boleh saya gunakan untuk berbincang. Tetapi sebab kita terpaksa berhenti sekejap, jadi saya pergi ke sana... bukanlah saya kata tidak penting, penting... Tetapi saya kurang satu alat untuk berbincang dengan Aung San Suu Kyi.
Ada yang mendakwa Statut Rom akan menjejaskan kedaulatan negara. Boleh Datuk jelaskan?
Saifuddin: Sebenarnya tidak timbul soal itu (di ICC). Satu lagi yang orang timbulkan ialah kedudukan Yang di-Pertuan Agong. Soal kekebalan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja. Di sini kita harus melihat dengan perspektif yang tepat. Soal kekebalan mutlak itu tidak wujud lagi kerana pindaan perlembagaan 1993. Wujudnya mahkamah khas bermakna seseorang raja, seandainya atas sifat peribadinya melakukan sesuatu kesalahan atau dituduh melakukan sesuatu kesalahan, baginda boleh didakwa di mahkamah khas.
Sekarang soalnya kekebalan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja dari sudut yang rasmi. Ini dilindungi perlembagaan. Perkara 40 menyatakan dengan jelas Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas baginda atas nasihat Perdana Menteri dan kabinet. Jadi baginda dilindungi (perlembagaan).
Orang timbulkan soal baginda sebagai pemerintah angkatan tentera. Itu Perkara 41. Tetapi Perkara 41 itu mesti dibaca bersekali dengan Perkara 40. Jadi, baginda sekali lagi dilindungi (perlembagaan) dan dalam konteks ini, oleh kerana baginda raja berperlembagaan, baginda tidak terlibat secara langsung untuk mengarahkan sesuatu perkara.
Pertama, tugas Yang di-Pertuan Agong itu dari sudut raja berperlembagaan, adalah tugas yang rasmi, bukan tugas yang fungsional. Kalau yang fungsional itu tadi Perdana Menteri dan sebagainya. Kalau dalam konteks tentera itu, menteri pertahanan ataupun jeneral yang terlibat. ICC jelas menyatakan bahawa yang akan didakwa itu ialah pemimpin yang secara langsung bertanggungjawab dalam hal (jenayah) itu.
(Sebagai contoh) jika peristiwa itu berlaku di Darfur, maka komander yang bertanggungjawab itu adalah yang di Darfur. Tidak ada kena-mengena dengan Mat Sabu (Menteri Pertahanan Mohamad Sabu), tidak ada kena-mengena dengan panglima angkatan tentera di MINDEF (Kementerian Pertahanan) dan sudah tentu tidak ada kena-mengena dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua angkatan tentera. Jadi soal kekebalan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja dalam hal-hal empat jenayah itu tidak timbul sama sekali.
Operasi ICC memang merujuk kepada orang yang benar-benar terlibat. Sebab itu, selain Malaysia, ada lebih kurang 10 lagi negara yang mengamalkan raja berperlembagaan yang menjadi negara pihak ICC kerana mereka sedar soal imuniti atau kekebalan raja mereka tidak akan disentuh dalam konteks ICC.
Ada yang berpendapat, negara-negara yang menolak Statut Rom mempunyai sesuatu untuk disembunyikan. Pendapat Datuk?
Saifuddin: Memang betul. Jadi kalau kita menolak ICC kerana negara-negara yang disebutkan itu menolak ICC, maka kita akan bertanya bahawa adakah kita dalam liga yang sama? Jadi kenapa kita harus menggunakan alasan menolak ICC dengan meminjam alasan digunakan Amerika, Israel dan Rusia. Kita seharusnya mempunyai kedudukan moral yang lebih tinggi.
Sekarang ini, Palestin menjadi negara pihak kepada ICC pada 2015. Palestin sedang berusaha membawa Israel ke muka pengadilan. Jadi, alangkah baiknya kalau Malaysia juga sebagai negara pihak boleh bersama-sama dengan Palestin. Tetapi walau selantang manapun kita bersuara tentang Israel, buat masa ini, kita hanya boleh jadi ‘penumpang’ untuk membantu Palestin.
Ada negara menandatangani tetapi tidak meratifikasi. Boleh jelaskan perbezaannya?
Saifuddin: Macam Malaysia. Kita sekarang telah tandatangani tetapi tidak meratifikasi. Kita bukan negara pihak. Jadi kalau berlaku sesuatu, kita tidak boleh secara langsung ke ICC dan kata “Saya hendak bawa penjenayah A yang terlibat ke ICC.”
Cara yang kita boleh buat ialah melalui Majlis Keselamatan PBB (Bangsa-Bangsa Bersatu). Seandainya A itu adalah kawan baik kepada satu daripada lima negara besar, nescaya tidak berlakulah, akan diveto. Tapi kalaupun A itu negara yang sangat rapat dengan kuasa besar dunia yang lima itu (Amerika Syarikat, UK, Perancis, Rusia dan China), paling kuat Majlis Keselamatan hanya boleh melengahkan sedikit proses. Tapi dia tidak boleh menghalang proses (keadilan). Itu bezanya. Macam sekarang jika kita hendak bawa Israel (ke muka pengadilan), pertama tidak boleh sebab kita bukan negara pihak. Kita boleh bawa ke Majlis Keselamatan, tetapi sah-sah Amerika akan veto. Sebab itu Palestin mengambil keputusan untuk menjadi negara pihak. Jadi Palestin boleh secara langsung bawa kes ke ICC.
Apakah proses penilaian yang dilakukan kerajaan sebelum menandatangani perjanjian?
Saifuddin: Semasa kita membuat keputusan untuk meratifikasi kita sudah mendapatkan panduan daripada Peguam Negara, kita mendapatkan nasihat daripada pakar perlembagaan seperti Profesor (Datuk Dr) Shad (Saleem) Faruqi dan beberapa yang lain.
Kuasa menandatangani perjanjian itu kuasa kabinet. Kita telah menandatangani lebih 100 perjanjian antarabangsa. Daripada jumlah itu, hanya satu yang pernah dibawa ke parlimen iaitu TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik). Yang lain, kabinet buat keputusan tanpa merujuk kepada parlimen dan tanpa merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
Apabila kita rujuk kepada perlembagaan, perkara 159 menggariskan ada sembilan perkara di mana apabila berlaku pindaan perlembagaan, Majlis Raja-Raja wajib dirujuk, wajib mendapat perkenan. Perjanjian antarabangsa seperti ICC tidak termasuk dalam sembilan perkara tersebut.
Tetapi oleh kerana kita hormati kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, kabinet membuat keputusan, walaupun ini tidak diperlukan, untuk menyembah maklum. Maka Perdana Menteri telah menulis warkah kepada baginda, pada masa itu pemangku Yang di-Pertuan Agong sudah dimaklumkan.
Oleh kerana masa itu kita ada dengar-dengar bakal mendapat Agong baharu, jadi saya berkata kita jangan tandatangan dulu, kita tunggu dan apabila telah ditabalkan Agong yang baharu yakni Sultan Pahang, saya dapatkan keizinan Perdana Menteri untuk sembah maklum. Kemudian saya dititahkan menghadap sekali lagi, jadi saya sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong.
Perbezaan Statut Rom dengan perundangan sedia ada?
Saifuddin: Statut Rom peringkatnya antarabangsa. Apabila libatkan empat jenayah besar. Selepas ratifikasi, apa yang perlu kita buat ialah keempat-empat jenayah itu harus dijadikan jenayah dalam perundangan tempatan. Adakah ini perlukan pindaan perlembagaan? Jawapannya tidak.
Yang kita perlukan ialah sama ada mewujudkan akta baharu atau meminda akta sedia ada. Cadangan peguam negara, kita wujudkan satu undang-undang baharu. Kita namakan sebagai akta ICC. Apabila kita wujudkan akta ini, andainya seorang pemimpin Malaysia, bukan Agong, terlibat dengan salah satu jenayah ini, maka mahkamah Malaysia boleh mendakwa dia.
Jika mahkamah Malaysia telah mendakwa dia, maka ICC tidak akan masuk campur kecualilah jika mahkamah kita itu dibuat secara ‘kanggaru.’ Sebab prinsip ICC, ia adalah mahkamah pilihan terakhir apabila negara yang terlibat itu jelas tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap si A.
Seandainya sesebuah negara itu “unwilling atau unable” iaitu tidak berkehendak atau tidak berkemampuan... Selagi kita berkehendak dan berkemampuan untuk mengadili si A, kemudian menghukum beliau dengan sewajarnya, kita boleh buat sendiri, ICC tidak akan campur tangan.
Kenapa banyak pemimpin negara Afrika yang dihadapkan atau dibicarakan di ICC?
Saifuddin: Jawapannya mudah sahaja. Kecuali satu atau dua kes, semua negara Afrika yang terlibat dalam ICC, selalunya pemimpin tentera yang kena, ia berlaku misalnya ketika pertukaran kuasa daripada diktator. Apabila ini berlaku, negara itu tidak ada mekanisme untuk mengadili dan menghukum. Mereka secara suka rela membawa kes itu ke ICC. Sebab itu nampak macam banyak negara afrika yang terlibat. Sebab mereka tidak mampu dan tidak dapat melaksanakannya
Kedua, kebetulan selepas tahun 2002, selepas ICC berkuat kuasa, empat jenayah antarabangsa ini kebanyakannya berlaku di sana. Jadi memanglah nampak banyak pemimpin negara Afrika dihadapkan ke ICC. Selagi kita sudah buat apa yang mencukupi dan sewajarnya, ICC tidak akan masuk campur.
Jika berlaku ‘unwiling’ atau ‘unable’ ini, siapa akan membawa penjenayah itu ke peringkat ICC?
Saifuddin: Boleh dilakukan rakyatnya sendiri kalau di negara pihak, atau rakyatnya boleh minta tolong kepada pihak lain dan sebagainya.
Mengapakah Statut Rom menjadi isu?
Saifuddin: Malangnya di Malaysia isu tentang agama, raja-raja, kaum...itu emotif. Malangnya ada orang yang pada saya memanipulasi fakta tentang ICC dan memberikan penerangan yang penuh dengan khilaf.
Banyak perkara yang harus dilakukan kerajaan PH dalam tempoh setahun ini, termasuk Statut Rom. Cabaran untuk kerajaan PH?
Saifuddin: Ya. Memang banyak perkara sebab kita harus membetulkan suasana.Cabarannya adalah, pertama, sebelum jadi kerajaan kita nampak ada banyak masalah. Tapi bila kita jadi kerajaan, baru kita tahu rupanya masalahnya lebih besar lagi daripada yang kita gambarkan. Soalnya, reformasi tidak boleh buat sekelip mata.
Kita sudah terbiasa selama 61 tahun dengan sesuatu cara. Jadi kalau hendak dibetulkan benda yang sudah jadi darah daging memang mengambil masa. Kami memahaminya. Kami belajar daripada proses ini termasuk kes ICC. Bahawa ada waktunya, perubahan itu perlu ambil masa, perubahan itu perlukan lebih banyak penjelasan dan perubahan-perubahan itu ada kalanya disalah tafsir, berlaku 'backlash.' Jadi kita harus melihat satu-satu. Tapi komitmen harus diteruskan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!