[VIDEO] Dua beranak warga emas 'gagah' demi hobi memancing

Sepiah (duduk) dan Mariam menyertai pertandingan memancing secara tradisional di Kampung Perangkap.
Sepiah (duduk) dan Mariam menyertai pertandingan memancing secara tradisional di Kampung Perangkap.
A
A
A

PASIR MAS - Biarpun masing-masing sudah berusia, namun dua beranak warga emas di sini tetap bersemangat untuk menyertai pertandingan memancing secara tradisional di tali air Kampung Perangkap di sini.

Sepiah Awang, 70, dan ibunya, Mariam Daud, 98, berjalan sejauh kira-kira 300 meter dari rumah mereka untuk memancing di tali air itu.

Mereka membawa buluh kecil sepanjang lebih 1.5 meter dan satu plastik kecil belalang yang ditangkap di sekeliling rumah untuk dijadikan umpan.

"Buluh yang emak saya guna sudah berusia lebih tiga tahun dan selalunya kami bergilir-gilir menggunanya untuk memancing di belakang rumah ketika masa lapang," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Menurut Sepiah, mereka tidak mempunyai masalah kerana buluh kecil itu boleh ditebang di sebelah rumah sahaja.

"Kami selalunya akan dapat ikan keli, haruan dan puyu yang akan disedekahkan kepada jiran dan saudara di kampung," katanya yang mempunyai 11 cucu.

Seorang lagi warga emas, Rosly Jaafar, 63, berkata, pertandingan memancing itu memberi peluang dia bertemu penduduk kampung selepas mengalami angin ahmar kira-kira dua tahun lalu.

Rosly
Rosly

Pesara polis itu juga teruja menyertai pertandingan berkenaan kerana ia dianjurkan ahli keluarganya yang dikenali sebagai Keluarga Mek Gayah (KMG).

"Saya dibantu menantu dan anak yang mencarikan cacing sebagai umpan. Inilah masanya kami sekeluarga serta penduduk kampung bertemu dalam suasana meriah dan mesra," katanya.

Sementara itu, wakil MKG, Norlida Jaafar berkata, penganjuran pertandingan mengail pertama kali diadakan di kampung itu dan mendapat sambutan daripada penduduk.

Penduduk Kampung Perangkap yang menyertai pertandingan mengail secara tradisional.
Penduduk Kampung Perangkap yang menyertai pertandingan mengail secara tradisional.

Menurut Norlida, ramai ahli keluarga Mek Gayah dari seluruh negara termasuk Kedah, Perlis dan Kuala Lumpur pulang untuk menyertai pertandingan ini.

"Penduduk kampung sekitar turut bersama dalam program kami ini hasil promosi melalui media sosial dan hebahan penduduk," katanya.

Tambahnya, lebih 200 orang menyertai pertandingan mengail secara tradisional yang berlangsung selama empat jam bermula jam 8 pagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!