58 pesakit jalani pembedahan katarak dalam tempoh dua hari

Dr Nor Azimi (belakang, dua dari kini) meninjau proses pemeriksaan ke atas pesakit yang yang bakal menjalani pembedahan katarak melalui karnival MCSI di Hospital Pekan pada Sabtu.
Dr Nor Azimi (belakang, dua dari kini) meninjau proses pemeriksaan ke atas pesakit yang yang bakal menjalani pembedahan katarak melalui karnival MCSI di Hospital Pekan pada Sabtu.
A
A
A

PEKAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) melakar sejarah apabila buat pertama kalinya berjaya menjadualkan 58 kes pembedahan mata (katarak) dalam tempoh dua hari melalui karnival pembedahan katarak secara besar-besaran (MCSI) di Hospital Pekan bermula pada Sabtu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus berkata, karnival yang diadakan dengan kerjasama Hospital Pekan dan Perkhidmatan Oftalmologi Pahang itu melibatkan pesakit dari Pahang Timur iaitu Pekan, Rompin, Muadzam Shah, Pekan dan Kuantan.

Menurutnya, pembedahan yang berjalan serentak menggunakan dua katil di dewan bedah Hospital Pekan dikendalikan sembilan pakar oftalmologi, tujuh pegawai perubatan dan lapan kakitangan sokongan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

"Daripada 58 pesakit yang dijadualkan untuk menjalani pembedahan ini, seramai tujuh pesakit penerima kanta sumbangan zakat Majlis Ugama Islam Pahang (Muip) dan lima lagi menerima kanta sumbangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

"Karnival ini satu inisiatif dalam memberi perkhidmatan pembedahan katarak untuk pesakit terutama dari zon Pahang Timur dengan lokasi yang lebih dekat dan menjimatkan perjalanan serta kos pesakit," katanya ketika sidang akhbar sempena karnival itu di Hospital Pekan pada Sabtu.

Dr Nor Azimi berkata, program itu juga bertujuan mengurangkan tempoh menunggu bagi pesakit yang akan menjalani pembedahan.

Sementara itu katanya, terdapat 533 pesakit dalam senarai menunggu untuk menjalani pembedahan di seluruh negeri Pahang sehingga Mac tahun ini.

"Justeru JKNP akan meneruskan karnival ini melalui enam siri sepanjang tahun ini bermula di Hospital Pekan dan Hospital Lipis dijangka menjadi lokasi terakhir pada Oktober depan.

"Sepanjang tahun lalu, seramai 2,555 pesakit berjaya menjalani pembedahan katarak di HTAA, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dan Hospital Lipis.

"Daripada jumlah itu, 273 pesakit menjalani pembedahan melalui empat siri MCSI yang diadakan tahun lalu," jelasnya.

Beliau berkata, program pembedahan katarak itu telah dilaksanakan sejak 2013 dan dijenamakan sebagai karnival pembedahan katarak tahun lalu bagi mempromosi perkhidmatan pembedahan itu kepada rakyat di negeri ini.

"Selain melalui karnival ini, proses pembedahan untuk pesakit katarak tetap diteruskan di hospital yang mempunyai kemudahan pembedahan dan pakar mata mengikut slot yang disediakan namun agak terhad," katanya.

Sementara itu, bagi pesakit yang ditemui amat berterima kasih atas usaha JKNP membantu mempercepatkan proses pembedahan untuk mereka melalui program tersebut.

Bagi Mallika Marie, 60, dari Kuantan, masalah katarak dihadapinya dikesan sejak enam bulan lalu selepas penglihatan kedua-dua belah matanya kabur.

"Hasil pemeriksaan dilakukan HTAA, doktor mengesahkan dia mengalami masalah itu dan diberi satu tarikh untuk jalani pembedahan.

"Saya tidak perlu menunggu lama apabila dipanggil untuk menjalani pembedahan dalam program ini.

"Pembedahan untuk mata kanan telah selesai manakala untuk mata sebelah kiri ditetapkan pada tarikh lain," katanya.

Menurutnya, inisiatif JKNP itu amat baik kerana bukan sahaja membantu cepatkan pembedahan malah memudahkan urusan pesakit.

Hashim Shamsuddin, 68, dari Keratong 9 mengakui usaha JKNP itu dapat meringankan beban ditanggung pesakit untuk menjalani pembedahan.

Menurutnya, masalah katarak dihadapi dikesan sudah lama namun tidak dapat menjalani pembedahan segera ekoran masalah kewangan.

Dia yang bekerja sendiri bersyukur apabila dipanggil untuk menjalani pembedahan itu di Hospital Pekan tanpa perlu ke HTAA.

"Hendak berulang alik ke HTAA jauh dan memakan kos. Bila buat di sini, mudah sikit lagipun lebih cepat dan tidak perlu menunggu lama," katanya.

Bagi nelayan, Mansor Awang, 67, dari Rompin, dia baru menjalani pembedahan masalah katarak pada mata kiri pada September tahun lalu.

"Mata kanan pun ada masalah juga dan terpaksa menjalani pembedahan. Awalnya saya belum pasti bila tarikh untuk pembedahan mata kanan dan jangkaannya lambat lagi.

"Alhamdulillah, saya tidak perlu menunggu lama, hari ini (Sabtu) sudah dapat melakukan pembedahan dan tidak sabar untuk melihat dengan jelas seperti biasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!