Bajet 2023 tumpu isu import, sekuriti makanan - PM

Anwar (enam dari kiri) ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di ibu negara pada Sabtu.
Anwar (enam dari kiri) ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di ibu negara pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu soal sekuriti makanan termasuk import makanan terlalu tinggi oleh negara antara yang diberi tumpuan dalam Bajet 2023 pada 24 Februari depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, isu alam sekitar juga akan diambil kira oleh pasukan yang diterajuinya di Kementerian Kewangan.

“Tentunya isu berkaitan pemusatan isu alam sekitar, soal sekuriti makanan (termasuk) import makanan terlalu tinggi.

“Hal-hal ini kita akan beri tumpuan dalam bajet,” katanya semasa berucap ketika Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini pada Sabtu.

Tambah Anwar, negara ini juga perlu lebih berani memperkenalkan dasar-dasar yang boleh memberi manfaat kepada semua.

“Dasar-dasar ekonomi yang boleh memacu pertumbuhan dan menyegarkan negara melihat kepada kedudukan semasa pasca Covid-19, kemelesetan ekonomi di Eropah serta kesan perang Ukraine-Rusia,” katanya.

Disebabkan itu, Anwar menyatakan bahawa pihaknya menekankan peranan itu bukan sahaja kepada syarikat-syarikat besar tetapi juga kepada industri kecil dan sederhana (IKS).

“Kita harus tumpu perhatian, beri ruang supaya mereka dapat meningkatkan teknologi dan digitalisasi supaya dapat bersaing serta memberikan pekerjaan lebih banyak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!