Polis siasat video lelaki pukul wanita

No Image Caption
A
A
A

GUA MUSANG - Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung klip video kejadian seorang lelaki memukul seorang wanita yang didakwa berlaku di daerah ini agar tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, klip video berdurasi 1 minit 47 saat itu telah dimuat naik di Facebook pada Khamis lepas.

Bagaimanapun, katanya hingga kini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian tersebut.

"Hasil siasatan polis, kejadian itu dikatakan berlaku di Lebuhraya Kota Bharu-Gua Musang dekat Paloh 2, di sini, namun tiada kepastian.

"Tarikh dan masa kejadian juga tidak dikenal pasti,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Choon Foo berkata, semua Ketua Polis Balai diarah untuk mengesan suspek berdasarkan individu dan tempat kejadian dalam video itu.

Terdahulu, tular rakaman video menunjukkan seorang wanita hanya menahan kesakitan dan tidak melawan apabila dimarahi, ditampar serta dipukul dengan topi keledar oleh seorang lelaki. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!