'Tiada lesen memandu, bagi alasan sibuk bekerja'

JPJ Selangor menjalankan pemeriksan terhadap penunggang motosikal semasa Op Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS2 pada Khamis.
JPJ Selangor menjalankan pemeriksan terhadap penunggang motosikal semasa Op Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS2 pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Jarak perjalanan dekat serta sibuk bekerja antara alasan yang diberi penunggang motosikal yang ditahan ketika Op Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS2 dekat sini pada Khamis.

Operasi di lorong motosikal itu dijalankan sepasukan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor yang diketuai Ketua Bahagian Penguat Kuasa, Mazlini Yusop.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, operasi selama dua jam bermula 8.30 malam itu mengesan 302 kesalahan.

Menurutnya, mengikut pecahan, kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh adalah paling tinggi iaitu 81 kes, diikuti lesen memandu tamat tempoh (67 kes) dan tiada lesen memandu (52 kes).

Antara kesalahan modifikasi yang dikesan menerusi Op Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS2 pada Khamis. Foto: JPJ Selangor
Antara kesalahan modifikasi yang dikesan menerusi Op Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS2 pada Khamis. Foto: JPJ Selangor

"Selebihnya adalah tiada perlindungan insurans (63 kes), kesalahan teknikal (27 kes) dan lain-lain kesalahan (12 kes).

"Pelbagai alasan diberikan penunggang yang ditahan kerana tidak memiliki lesen memandu antaranya jarak perjalanan dekat, kekangan masa serta sibuk bekerja hingga tidak sempat mengambil lesen.

"Ada juga yang beri alasan terlupa untuk perbaharui cukai jalan dan mendakwa motosikal yang digunakan adalah milik rakan serta sebagainya," katanya pada Sabtu.

Tambahnya, selain itu, JPJ Selangor turut menyita 25 motosikal untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, sepanjang operasi terbabit, JPJ Selangor telah mengesan pelbagai kesalahan modifikasi motosikal iaitu ekzos bising, saiz tayar yang tidak mengikut spesifikasi serta pemasangan lampu yang tidak dibenarkan.

"Penunggang dan pemilik motosikal diingatkan supaya sentiasa patuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta memastikan motosikal berada dalam keadaan baik dan mengamalkan pemanduan secara berhemah.

"Sebarang aduan kesalahan lalulintas, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan berserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!