Pemandu Porsche disyaki mabuk rempuh 3 kenderaan ditahan

Pemandu kereta Porsche 911 Carrera ditahan untuk siasatan berhubung kes kemalangan di kawasan parkir di sebuah pusat beli-belah di Sepang pada Jumaat. - Foto Tular di Facebook
Pemandu kereta Porsche 911 Carrera ditahan untuk siasatan berhubung kes kemalangan di kawasan parkir di sebuah pusat beli-belah di Sepang pada Jumaat. - Foto Tular di Facebook
A
A
A

SEPANG - Polis menahan pemandu kereta Porsche 911 Carrera disyaki mabuk selepas merempuh tiga kenderaan di kawasan parkir sebuah pusat beli belah dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.50 malam membabitkan empat kenderaan.

Menurutnya, siasatan mendapati kereta jenis Porsche 911 Carrera yang dipandu lelaki berusia 61 tahun itu telah melanggar penghadang jalan di kawasan parkir valet terbabit.

"Pemandu yang juga seorang kontraktor itu telah hilang kawalan sehingga terlanggar tiga kereta jenis Toyota Corola Cross, Honda Jazz Hybrid dan Honda CRV yang diparkir di lokasi terbabit," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pelanggaran terbabit mengakibatkan kesemua kenderaan mengalami kerosakan dan siasatan awal dipercayai suspek memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Semakan juga mendapati lesen pemandu Porsche 911 Carrera itu telah tamat tempoh selain mempunyai 31 saman yang belum dijelaskan," ujarnya.

Jelasnya, pemandu terbabit telah ditahan untuk ujian air kencing dan darah selain direkod keterangan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!