Dua beranak melecur kedai makan, bengkel terbakar
KOTA BHARU - Dua beranak melecur dalam kebakaran melibatkan sebuah kedai makan dan dua bengkel kereta di Kampung Belukar, Panji di sini pada Sabtu.
Kejadian berlaku pada jam 4.50 pagi ketika Mohd Azlan Mohd Zain, 33, dan ibunya, Hayati Husin, 52, sedang tidur menyebabkan masing-masing melecur pada bahagian tangan serta muka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.59 pagi dan seramai 32 pegawai dan anggota dari BBP Kota Bharu, Pengkalan Chepa serta Darul Naim bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan tiga kedai jenis kekal yang berkeluasan 305 meter persegi setiap satu dengan kemusnahan membabitkan 95 peratus.
“Dua mangsa yang berada di dalam kedai makan yang terbakar berjaya menyelamatkan diri namun mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Kota Bharu membantu memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum mereka dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut.
“Anggota bomba turut menolak beberapa kereta keluar dari bengkel bagi mengelak kenderaan terus terbakar dan kebakaran dapat dikawal pada jam 5.45 pagi sebelum api dipadamkan sepenuhnya jam 6.45 pagi
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian itu masih dalam siasatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!