‘Nak rayu macam mana, prosedur asal pun tak ikut’ - Shahril

Shahril Sufian
Shahril Sufian
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan meragui hasil keputusan bakal diperoleh sekiranya beliau membuat rayuan terhadap penggantungan enam tahun yang dikenakan terhadapnya pada Jumaat.

Dakwanya, ini kerana proses hukuman dikenakan terhadapnya itu tidak menggunakan prosedur sepatutnya memandangkan beliau tidak menerima sebarang panggilan daripada Lembaga Disiplin UMNO atau surat sebelum keputusan berkenaan dilakukan.

“Sebab itu, bila orang cakap buat rayuan, saya ingat rayu pun nak rayu macam mana. Sedangkan prosedur asal pun tak guna prosedur yang betul. Takkan (bila) rayuan pula tiba-tiba jadi ok,” soalnya menerusi hantaran video pendek di Facebook pada Sabtu.

Selain Shahril, turut digantung untuk tempoh sama ialah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

UMNO pada Jumaat turut memecat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Shahril berkata, beliau masih tidak mengetahui dengan jelas berkenaan punca tindakan sedemikian diambil terhadapnya.

“Saya ada baca sedikit mesej sengaja ditularkan mungkin kononnya (tindakan diambil) kerana saya letak jawatan selaku ketua penerangan, kemudian saya minta Presiden parti (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) ambil tanggungjawab setelah kekalahan Pilihan Raya Umum.

“Saya juga buat video cadangan untuk perubahan dalam UMNO termasuk buat jabatan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Saya tidak pasti kalau orang boleh terima sama ada ini adalah sebab yang munasabah.

“Mungkin kalau mereka nampak orang tak boleh terima, dia boleh cipta pula alasan yang baru. Tapi tak apalah saya rasa kita semua boleh agak sebab ataupun motif utama yang mereka ada untuk buat perkara ini,” katanya.

Shahril menegaskan hukuman penggantungan itu tidak akan langsung mampu mengubah pendirian yang sebelum ini telah beliau nyatakan dalam beberapa isu berkaitan parti berkenaan.

“Sorrylah, saya tak boleh buat perkara itu...UMNO ini satu-satunya parti yang saya dah berjuang jadi ahli, cipta persahabatan, belajar daripada kawan-kawan dalam UMNO dan mendewasakan diri dalam parti ini, tapi tiba-tiba dibuat begini.

“Bukan mudah untuk ditelan, tetapi inilah kehidupan, inilah politik. Saya masih ada rasa sayang teramat-amat terhadap ahli UMNO,” katanya yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO.

Pada masa sama, Shahril berkata, masih terlalu awal untuk beliau membuat keputusan berkenaan langkah seterusnya, namun menegaskan hukuman itu tidak akan mematahkan semangatnya.

“Saya ada kemahuan keinsafan untuk menyumbang apa cara sekalipun dalam pembangunan agama bangsa dan tanah air yang lebih murni selepas ini. Insya-ALLAH Shahril Hamdan kalau dah jadi fighter (pejuang) kita takkan gostan (berundur),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!