Selangor FC terbang ke Bangkok lawan kelab Thailand
SELANGOR FC akan berkampung di Bangkok selama lima hari dalam misi menguji dua kelab Thailand bulan depan.
Skuad Gergasi Merah akan terbang ke negara jiran itu dalam siri jelajah pramusim bermula 5 hingga 10 Februari depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Datuk Johan Kamal Hamidon berkata, pasukan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Ratchaburi FC dan PT Prachuap.
Menariknya, Ratchaburi FC adalah pasukan diwakili Safawi Rasid, manakala PT Prachuap pula melibatkan seorang lagi pemain negara, Junior Eldstal.
“Selangor FC akan menentang dua pasukan kelab yang beraksi di Thailand iaitu Ratchaburi FC dan PT Prachuap selepas kejohanan di Piala Harapan 2023.
“Kami akan berada di Thailand mulai 5 Februari dan dijangka berakhir pada 10 Februari,” katanya pada majlis memperkenalkan jersi Selangor FC di Shah Alam pada Sabtu.
Sebelum berkampung di Bangkok, skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan memeriahkan Piala Harapan di Pulau Pinang bermula Rabu hingga Sabtu depan.
Kejohanan itu melibatkan tiga lagi pasukan iaitu skuad tuan rumah, Penang FC, Kedah Darul Aman FC dan kelab dari Singapura, Geylang International FC.
Menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) pada 24 Februari ini semua pasukan giat memantapkan skuad masing-masing menerusi aksi persahabatan di dalam atau luar negara.
Beberapa kelab turut menjadikan negara Gajah Perang itu sebagai medan ujian termasuk Sri Pahang FC dan Sabah FC, manakala skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) terbang ke Dubai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!