Tiga kilang, bengkel kereta terbakar di Taiping
IPOH - Tiga kilang dan sebuah bengkel kereta musnah dalam kejadian kebakaran di Kawasan Perindustrian Tupai, dekat Taiping, pagi tadi.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.56 pagi berhubung kebakaran membabitkan bahagian dalam gudang simpanan tilam yang musnah hampir 95 peratus, serta kilang besi dan piano.
"Bengkel kereta itu pula musnah 90 peratus dan turut terbakar tiga buah kenderaan.
"Kerja-kerja memadam kebakaran turut dibantu jentera dari BBP Kamunting, BBP Batu Kurau termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Sepetang, Kuala Gula, Parit Buntar, Bagan Serai dan Pantai Remis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya kebakaran dapat dikawal dalam tempoh 35 minit dan tiada mangsa berada dalam premis terbabit.
Katanya punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada 3.40 petang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!