Berhabis wang demi kecintaan pada buku
SHAH ALAM - Jualan Gudang Karangkraf 2023 membuktikan ramai pencinta buku sanggup berhabis ratusan ringgit semata-mata untuk memiliki naskhah yang diinginkan.
Seorang pesara kerajaan, Kamalrul Badri Mat Ali, 66, berkata, beliau seorang pengumpul naskhah seperti psikologi, agama, bisnes dan juga buku yang berunsurkan fiksyen.
“Saya begitu mencintai buku sehinggakan saya memiliki perpustakaan mini di rumah. Kesemua buku yang saya punya adalah hasil pengumpulan dari tahun 1974 hingga kini.
“Jika ditanya perihal kos, masa dan wang ringgit, saya tidak kisah untuk menghabiskan duit dan masa berjam-jam di jalanan semata-mata untuk menghadiri jualan gudang ini,” katanya yang sanggup menempuh perjalanan selama dua jam 30 minit dari Melaka.
Menurutnya lagi, sebelum menghadiri jualan gudang itu, beliau telah membuat senarai buku yang ingin dibeli.
“Alhamdulillah, saya berjaya untuk mendapatkan kesemua koleksi buku yang diinginkan. Saya sangka dengan adanya persiapan rapi (senarai buku) dapat membuat pembelian dengan segera, namun sebaliknya menghabiskan masa lebih daripada tiga jam untuk membelek buku-buku yang ada.
“Bagi saya jualan gudang pada kali ini tidak kurang meriahnya dan kali ini saya habiskan sebanyak RM500 untuk membeli buku-buku ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Jualan gudang yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini turut dihadiri penghuni rumah kebajikan.
Menurut pekerja sosial merangkap Pegawai Perhubungan Awam Rumah Kebajikan Kanak-Kanak BRDB Rotary, Seri Kembangan, Selangor, Mohd Aizat Ramli, jualan gudang sememangnya memudahkan pusat kebajikan itu dalam mendapatkan koleksi buku kanak-kanak.
“Kami bukan sahaja membeli naskhah pembelajaran tetapi ada juga komik, buku seperti memasak, menjahit dan menanam kerana di pusat kebajikan ini kami juga memberi pendedahan kemahiran.
“Menerusi jualan gudang pada kali ini, kami memperuntukkan sebanyak RM1,000 untuk dibelanjakan, tetapi disebabkan harga yang ditawarkan sungguh murah, kami hanya berbelanja sebanyak RM700 untuk mendapatkan buku-buku yang diperlukan,” ujarnya.
Bagi Noraidah Badaruzaman, 42, pula, hasratnya untuk menjejakkan kaki ke Jualan Gudang Karangkraf akhirnya tercapai.
“Sebaik sahaja saya melangkah masuk ke Kompleks Kumpulan Karangkraf ini, alangkah terkejutnya melihat tawaran harga yang dipaparkan. Keberadaan saya di sini hari ini (Sabtu) turut diketahui oleh rakan-rakan yang berada di Johor.
“Hari ini saya datang sebagai personal shopper (pembeli peribadi) dengan membeli sebanyak 15 buah novel yang dikirim rakan-rakan. Untuk pembelian diri sendiri pula, saya mungkin datang pada hari lain,” jelasnya yang bertugas sebagai guru di Shah Alam.
Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin memaklumkan sambutan yang diterima amat memberangsangkan apabila menerima kehadiran kira-kira 2,500 pengunjung sejak Jumaat.
"Alhamdulillah memang dapat sambutan yang baik, dari 9 pagi semalam dapat dilihat ramai pengunjung yang datang membawa keluarga termasuk pembeli peribadi.
"Ramai yang menyokong dan membeli produk buku yang kita jual dan paling mendapat sambutan siri Little Adib yang kini mempunyai 10 buku,'' katanya.
Sehubungan itu, beliau menjemput semua untuk hadir bersama-sama memeriahkan lagi jualan gudang tersebut yang menawarkan pelbagai jenis buku dengan harga berpatutan dan berbaloi untuk dimiliki.
Sementara itu, Ketua Projek, Muhammad Asyraf Jebat, 33, berkata, pelbagai program akan diadakan sepanjang 10 hari jualan gudang itu berlangsung.
Jelasnya, pengunjung bukan hanya dapat menikmati potongan harga menarik, malah dapat berjumpa penulis novel atau puisi yang digemari mereka, selain boleh mengikuti program ilmuwan berkaitan penulisan.
Jualan Gudang Karangkraf 2023 berlangsung dari 27 Januari hingga 6 Februari ini bermula dari jam 9 pagi hingga 7 petang bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini.
Aktiviti Jualan Gudang Karangkraf, 29 Januari 2023 (Ahad)
10 pagi -12 tengah hari - Temu Mesra bersama penulis, Izzad Daniel (Buku Peluang Kedua)
12 tengah hari - 2 petang - Pelancaran Podcast Buku Karangkraf dan cabutan bertuah
- Perasmian oleh Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin
2 petang - 4 petang - Pertandingan Mewarna Buku Prima (12 tahun ke bawah)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!