[VIDEO] Kerajaan mobilisasi, gerakkan bantuan pasca banjir

Ahmad Zahid ketika sidang akhbar di PPS Politeknik Mersing pada Sabtu.
Ahmad Zahid ketika sidang akhbar di PPS Politeknik Mersing pada Sabtu.
A
A
A

MERSING - Kerajaan akan memobilisasikan dan menggerakkan bantuan serta keperluan ketika pasca banjir bagi meringankan beban mangsa banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat memberikan sumbangan akan disusun dan digerakkan supaya dapat dikoordinasi bersama agensi kerajaan terlibat.

"Saya akan mobilisasikan NGO melalui koordinasi yang saya sudah susun di peringkat nasional. Begitu juga di negeri dan daerah.

"Banyak bantuan dihulurkan, tetapi mangsa banjir juga ada yang kehilangan dokumen, berdepan kerosakan struktur rumah, peralatan rumah dan lain-lain

"Oleh itu, kerajaan akan koordinasi dengan NGO supaya kita dapat bantu sedikit sebanyak bagi ringankan beban mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Politeknik Mersing pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Ditanya mengenai rungutan mangsa banjir lambat mendapat bantuan ketika pasca banjir, Ahmad Zahid menjelaskan, jawatankuasa bencana negeri dan daerah menerusi pelbagai agensi kerajaan dan NGO telah berusaha menyalurkan bantuan kepada mangsa terjejas.

"Sebenarnya ada empat kategori mangsa banjir yang berbeza, pertama mangsa banjir yang berpindah ke PPS, kedua, mangsa banjir yang berpindah, namun tidak ke PPS.

"Ketiga, mangsa banjir tidak berpindah ke PPS kerana berlindung di tingkat atas kediaman dan keempat mangsa banjir yang keluar dari rumah, namun tinggal di rumah penginapan.

"Antara empat kategori ini kerajaan utamakan mangsa banjir yang berpindah ke PPS kerana semua maklumat penting terutama senarai nama yang lengkap sudah ada untuk bantuan segera disalurkan," katanya.

Bagaimanapun, penambahbaikan akan sentiasa dilakukan bagi membolehkan bantuan segera dapat diberikan kepada mangsa banjir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!