Wanita mengamuk, serang 'skandal' suami

Kejadian itu dipercayai berlaku di Phuket. - Foto: Agensi
Kejadian itu dipercayai berlaku di Phuket. - Foto: Agensi
A
A
A

BANGKOK - Seorang isteri di Thailand nekad menyerang sebuah pusat pelacuran yang dikunjungi suaminya ketika kejadian pada Rabu lalu.

Perbuatan curangnya terbongkar selepas wanita itu menemui gambar pekerja seks tersebut di dalam telefon bimbit suaminya.

"Isteri lelaki itu mengikutinya secara diam-diam ke sebuah rumah urut di Phuket. Dia menyerang gadis kecil tersebut setelah suaminya meninggalkan premis tersebut," lapor media tempatan.

Rakaman video itu menunjukkan isteri yang berang itu menarik tuala yang membaluti tubuh pekerja seks berkenaan sebelum menarik rambut dan memukulnya beberapa kali.

Menerusi klip itu, gadis itu turut merayu dan meminta maaf kepadanya.

"Saya tidak tahu dia sudah beristeri. Saya tidak akan bertemu lagi dengannya," rayu pekerja seks itu.

Susulan insiden itu, polis telah melancarkan siasatan.

"Kami sedang mengenal pasti lokasi kejadian. Tiada aduan diterima setakat ini, namun saya menggalakkan mangsa untuk tampil membuat laporan," kata jurucakap polis, Kolonel Sarawut Chuprasit.

Sementara itu, peguam Anantarak Pathin memberitahu butiran tentang insiden serangan itu telah didedahkan kepadanya.

"Ia adalah satu kesalahan jenayah. Saya berasa ia adalah serangan yang amat teruk dan tindakan membogelkan gadis itu sememangnya tidak boleh diterima.

"Kes itu perlu disiasat sepenuhnya," ujarnya lagi. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!