Penganjur perlu timbang lokasi sesuai anjur konsert - Fahmi
KUALA LUMPUR - Penganjur konsert di Malaysia harus melihat semula segala pertimbangan dalam mencari lokasi yang terbaik dan sesuai untuk mengadakan acara mereka di dalam negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, sementara kerajaan tidak akan terlibat dalam aspek berkenaan tetapi ia mengambil maklum rungutan daripada pembeli tiket konsert sebelum ini.
"... diharap, pada peringkat tertentu saya ingin mengajak semua penganjur dan promoter untuk munculkan diri dan memberikan pandangan mengapa isu seperti ini tidak boleh diselesaikan,” katanya ketika ditanya berkenaan rungutan mereka yang pergi ke konsert mengenai lokasi sesuai untuk mengadakan pertunjukan.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui sebelum konsert 'AR Rahman - Secret of Success - Live in Malaysia 2023' di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini malam ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga menghadiri konsert komposer muzik India pemenang Anugerah Oscar itu bersama Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B N Reddy.
Ditanya mengenai harapan beliau terhadap ulang tahun ke-30 kembara muzikal AR Rahman yang diadakan di Malaysia, Fahmi berkata, ia merupakan satu permulaan yang baik kepada pihak berkuasa untuk melihat apa yang boleh mereka lakukan terutamanya dalam peraturan sedia ada.
"Kami faham dalam rantau ini, ada beberapa premis yang menjadi lokasi di mana konsert mega seperti ini berlangsung.
"Jadi, kami perlu melihat bagaimana konsert seperti ini membawa masuk pelancong ... yang membawa kesan positif kepada ekonomi," katanya.
Fahmi juga berkata, beliau menghadiri taklimat Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) yang merupakan agensi bertanggungjawab untuk memberi permit kemasukan artis-artis antarabangsa ini.
"Justeru, kami mahu melihat apa yang kami boleh lakukan untuk memperkemaskan prosesnya untuk menjadikan ia lebih cepat dan lebih efisien serta dengan harapan boleh membawa masuk lebih banyak pelancong,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!