Amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di Pahang, Johor
SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di tiga daerah di Pahang dan Johor sehingga Isnin.
Menurut kenyataan dikeluarkan jam 11 malam Sabtu, ia membabitkan satu daerah di Pahang iaitu Rompin manakala di Johor melibatkan Mersing dan Kota Tinggi.
MetMalaysia turut meramalkan hujan lebat berterusan tahap buruk di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan dan Terengganu.
Cuaca sama turut dijangka melanda Kuantan dan Pekan di Pahang, Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bharu di Johor.
Sementara itu, amaran hujan berterusan tahap waspada juga dikeluarkan agensi itu membabitkan beberapa daerah lagi di Kelantan iaitu Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai, Pahang (Jerantut dan Maran) dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat serta Pontian).
Amaran hujan berterusan tahap bahaya dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam.
Amaran hujan berterusan peringkat buruk pula diberikan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh enam jam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!