Lelaki maut bergaduh kerana pokok timun

Parang dan paip besi yang dirampas polis susulan kes pergaduhan hingga akibatkan seorang maut di sebuah kilang di Jalan Mengkibol, Kluang pada Khamis. Gambar kecil: Bahrain
Parang dan paip besi yang dirampas polis susulan kes pergaduhan hingga akibatkan seorang maut di sebuah kilang di Jalan Mengkibol, Kluang pada Khamis. Gambar kecil: Bahrain
A
A
A

KLUANG - Hanya disebabkan tidak puas hati pokok timun dipotong, seorang pekerja kilang warga asing maut selepas terlibat pergaduhan dengan sekumpulan pekerja Bangladesh dan Myanmar di sebuah kilang di Jalan Mengkibol di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd Noh berkata, kejadian melibatkan mangsa yang merupakan operator kilang warga Bangladesh berusia 31 tahun berlaku di hadapan bilik asrama pekerja kilang tersebut pada jam 4 petang.

"Kejadian itu diketahui selepas pengurus kilang berkenaan diberitahu seorang pekerjanya mengatakan pekerja kilang berkenaan sedang bergaduh di hadapan asrama kilang.

"Pengurus berkenaan kemudian pergi ke asrama pekerja untuk membuat pemeriksaan dan mendapati keadaan terkawal, namun pada jam 5 petang pengurus berkenaan melihat tiga pekerja dibawa rakan-rakannya ke tengah jalan di kawasan kilang dalam keadaan cedera.

"Pengurus bersama-sama rakannya telah membawa dua pekerja untuk mendapat rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom HEBHK) dan seorang lagi pekerja telah dibawa mendapatkan rawatan di klinik berdekatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pergaduhan tersebut melibatkan pekerja warga Bangladesh dan Myanmar di asrama pekerja.

Jelasnya, asrama pekerja kilang itu mempunyai dua blok yang diduduki pekerja warga Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

"Punca kejadian pada hari itu adalah kerana pokok timun yang ditanam mangsa dirosakkan oleh suspek warga Myanmar. Kemudian mangsa dan rakan-rakannya iaitu warga Bangladesh bertanya suspek berkenaan pokok yang dipotong itu lalu berlaku pergaduhan antara mereka," katanya.

Menurutnya, mangsa yang cedera di bahagian kepala dihantar ke HEBHK tetapi dimasukkan dalam wad selepas tidak sedarkan diri dan kritikal.

"Pegawai perubatan di HEBHK memaklumkan mangsa meninggal dunia pada jam 1.56 pagi semalam," ujar beliau.

Bahrain berkata, pihaknya menahan lima lelaki Bangladesh berusia 30 sehingga 41 tahun dan lima lagi lelaki Myanmar berusia 21 sehingga 41 tahun sebelum mereka direman selama tujuh hari bermula Jumaat.

Pihaknya turut merampas sebilah parang sepanjang kira-kira hampir setengah meter dan dua batang paip sepanjang hampir satu meter.

Tambahnya, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!