Sentuhan Heung-min kembali tajam
SENTUHAN tonggak utama Tottenham Hotspur, Son Heung-min kembali tajam selepas meledak dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Preston dalam aksi pusingan keempat Piala FA pada Ahad.
Dua gol daripada Heung-min dan satu lagi jaringan daripada Arnaut Danjuma memastikan Spurs melangkah ke pusingan seterusnya.
"Saya memerlukan gol tersebut untuk meningkatkan keyakinan saya dan ia sangat penting. Saya berada dalam posisi terbaik untuk menjaringkan gol.
"Dalam separuh masa pertama saya mempunyai beberapa peluang untuk jaringkan gol tetapi penjaga gol lawan menyelamatkannya.
"Sebagai seorang penyerang atau pemain menyerang, perkara paling penting adalah menjaringkan gol. Ia sangat penting untuk membantu pasukan mara ke pusingan seterusnya," katanya.
Pemain Korea Selatan itu yang memenangi Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 23 gol musim lalu bergelut untuk berada pada prestasi terbaik musim ini dan hanya meledak lapan gol dalam semua kejohanan.
Dalam pada itu, penolong pengurus Tottenham, Cristian Stellini memuji Heung-min selepas perlawanan dan menyifatkannya sebagai pemain yang hebat.
"Dia perlu menunggu masa yang sesuai untuk mencari ruang. Dia sangat fokus pada perlawanan. Dia terpaksa menunggu masa yang sesuai untuk melakukan kerja yang baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!