Himpunan tanpa permit: 11 termasuk ahli politik akan dipanggil

Noor Dellhan. Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Noor Dellhan. Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 11 individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan tanpa permit di hadapan Kedutaan Sweden dan Kedutaan Belanda di ibu negara pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telah mengenal pasti 11 individu termasuk ahli politik yang terlibat dalam perhimpunan itu.

"Mereka akan dipanggil selepas 'Order to Investigate' diperoleh esok (Isnin)," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pada Jumaat, media melaporkan polis mengenal pasti individu terlibat dengan dua perhimpunan yang tidak mematuhi undang-undang itu dan akan dipanggil untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Dang Wangi telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Kertas siasatan itu akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.

Polis mengesan demonstrasi aman dan serahan memorandum membantah pembakaran al-Quran serta demonstrasi solidariti bantahan penghinaan agama Islam yang tidak mematuhi undang-undang diadakan di lokasi terbabit.

Pemerhatian polis mendapati kira-kira 80 individu menyertai perhimpunan yang diadakan di hadapan Kedutaan Belanda dan seramai 400 orang menyertai perhimpunan diadakan di hadapan Kedutaan Sweden.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!