Pantai Sungai Kajang mula operasi waktu terdekat
TANJONG KARANG - Pantai Sungai Kajang, Tanjong Karang yang disita sejak 10 Januari lalu dijangka dibuka kepada orang ramai dalam waktu terdekat.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau semasa bertemu dengan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid pada Rabu lalu.
Menurut beliau, tindakan JPNS menarik sitaan itu antara langkah jangka masa pendek bagi menyelesaikan isu berkenaan.
"Pertemuan saya dan pengarah JPNS (Ahmad Fadzil) membincangkan mengenai penutupan Pantai Sungai Kajang dan beberapa ketetapan telah dipersetujui termasuk penyelesaian jangka panjang," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ahli Parlimen Tanjong Karang di sini pada Ahad.
Zulkafperi berkata, surat secara rasmi kepada JPNS akan diserahkan pada Isnin bagi mempercepatkan pembukaan semula pantai itu kepada pengunjung.
Menurut Zulkafperi, sitaan pantai itu memberi kesan kepada pendapatan lebih 20 peniaga kecil di kawasan tersebut.
Ujar beliau, Pantai Sungai Kajang merupakan satu-satunya kawasan pantai terbuka kepada pengunjung untuk beriadah di Tanjong Karang.
"Tindakan sitaan ini menimbulkan rungutan orang ramai termasuk peniaga makanan dan minuman yang mencari rezeki sejak sekian lama.
"Saya amat menghargai keprihatinan JPNS dan mengharapkan penyelesaian sepenuhnya dapat dilakukan bagi mengatasi isu tersebut," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!