Tembakan di California: Tiga maut, empat cedera
MOSCOW - Sekurang-kurangnya tiga orang maut manakala empat yang lain cedera dalam insiden tembakan besar-besaran di California, Amerika Syarikat pada Sabtu.
Insiden itu berlaku di kawasan kejiranan Benedict Canyon di Los Angeles, manakala suspek masih bebas, lapor Sputnik memetik akhbar Los Angeles Times.
Tiga mangsa yang maut ditemukan dalam kenderaan manakala empat lagi mangsa berada di jalanan.
Mangsa yang cedera dibawa ke hospital tempatan, dengan dua daripada mereka dilaporkan masih kritikal.
Pada Isnin, sekumpulan senator AS memperkenalkan semula Larangan Senjata Serangan persekutuan dan perundangan yang meningkatkan had umur pembelian senjata kepada 21.
Presiden AS, Joe Biden telah meminta Kongres untuk segera meluluskan undang-undang itu.
Juga pada Isnin, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan seorang cedera dalam kejadian tembakan besar-besaran yang berlaku di dua lokasi berbeza di bandar Half Moon Bay, California.
Satu lagi insiden maut dilaporkan di Oakland, California pada petang Isnin menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut dan beberapa lagi cedera.
Menurut penganalisis Gun Violence Archive, sekitar 40 kejadian tembakan besar-besaran di Amerika Syarikat direkodkan sejak awal tahun ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!