YBR salur RM100,000 kepada pelajar B40 UTeM
SHAH ALAM - Sebagai usaha membantu kerajaan dalam memberikan bantuan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan RM100,000 kepada pelajar B40 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang kurang berkemampuan bagi meneruskan pengajian mereka.
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, pihaknya sentiasa mencari ruang dan peluang bagi membantu mereka yang memerlukan khususnya golongan B40 dan asnaf dalam mendapatkan pendidikan lebih baik.
"Saya percaya melalui bantuan seperti ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat serta motivasi pelajar yang kurang berkemampuan untuk terus mengorak langkah bagi mengubah nasib keluarga ke kehidupan lebih baik serta mencipta kejayaan di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau turut hadir bagi menyerahkan Bantuan Awal Pengajian YBR serta perasmian Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat atau dikenali 'SIR Corner' kepada pelajar dan perpustakaan UTeM.
Replika cek Bantuan Awal Pengajian dan gimik penyerahan itu disaksikan Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Massila Kamalrudin.
Pemilihan bantuan kepada 100 pelajar dalam kalangan keluarga B40 itu berdasarkan senarai yang dikenal pasti Jabatan Hal Ehwal Pelajar UTeM di mana setiap pelajar terpilih bakal menerima peruntukan sebanyak RM1,000 seorang.
Syaiful menambah, melalui 'SIR Corner', pihaknya mengharapkan ia dapat meningkatkan carian ilmu tanpa sempadan serta sebagai alternatif kepada pelajar untuk mencari sumber rujukan dalam penghasilan tesis atau tugasan yang diberikan sepanjang tempoh pengajian.
"Inisiatif 'SIR Corner' ini menjadi salah satu medan pemerkasaan pendidikan dalam merealisasikan visi YBR yang berteraskan pendidikan sekali gus menjadi kelebihan YBR berbanding yayasan lain.
"Bagi tahun 2022, sebanyak 20 institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka di Malaysia telah terpilih menerima 'SIR Corner' dengan jumlah peruntukan sebanyak RM300,000," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!