Penduduk bimbang rumah 'ditelan' sungai
RANTAU PANJANG - Penduduk di Kampung Tanjong Erat, Lubok Setol di sini bimbang rumah mereka akan 'ditelan' Sungai Tandak Liang akibat hakisan tebing.
Hakisan sepanjang satu kilometer itu menjejaskan 13 buah rumah yang berada berhampiran tebing sungai tersebut.
Seorang penduduk, Ishak Nayan, 48, berkata, masalah yang berlaku sejak tiga tahun lalu itu berpunca daripada banjir besar yang sering melanda kawasan kampung berkenaan.
"Pada awalnya, jarak rumah kami dengan tebing sungai lebih 100 meter.
"Namun, disebabkan arus deras yang melanda setiap kali musim tengkujuh menyebabkan hakisan tanah menjadi lebih teruk," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Ahad.
Pesara tentera itu memberitahu, setiap kali banjir penduduk di sini berada dalam ketakutan memikirkan keadaan tebing yang semakin dekat dengan kawasan rumah.
Penoreh getah, Omar Hamat, 61, berkata, memburukkan lagi keadaan apabila air yang dilepaskan dari Empangan Bukit Kwong turut memberikan kesan kepada penduduk.
"Diharap pihak berkenaan dapat melakukan sesuatu seperti membuat benteng batu dan sebagainya," katanya.
Pesara tentera, Li Safein, 65, pula berkata, jarak rumahnya dengan sungai kini tidak sampai 30 meter.
Ujarnya, keadaan itu menyebabkan tidurnya sering terganggu setiap kali hujan lebat.
Justeru, dia berharap tindakan segera dapat diambil bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!