Podcast Buku Karangkraf tarik minat generasi muda
SHAH ALAM - Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) mengambil langkah kreatif serta fleksibel dengan melancarkan Podcast Buku Karangkraf bagi menarik minat membaca dalam kalangan generasi muda.
Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, ini kerana selera pembaca khususnya anak-anak muda telah berubah daripada membaca buku, majalah dan surat khabar kepada bahan bacaan dalam talian.
Menurut Firdaus, pihaknya mengambil peluang untuk memahami remaja zaman sekarang yang lebih suka dengan spotify dan terdedah dengan teknologi.
"Kita perlu fikir ke hadapan, zaman telah berubah, anak-anak kita sekarang lebih suka dengan media sosial. Jadi, dengan muat naik Podcast Buku Karangkraf, mereka boleh mendapat ilmu di mana berada dan bila-bila masa sahaja.
"Kita hendak angkat buku atau bahan bacaan dalam bentuk yang lebih mudah agar dapat mengembalikan minat membaca dalam kalangan masyarakat sekali gus dapat menajamkan pemikiran," ujarnya pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Pelancaran Podcast Buku Karangkraf di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini.
Jualan Gudang Karangkraf 2023 kini kembali dengan menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan pada diskaun sehingga 80 peratus.
Ia diadakan pada 27 Januari hingga 6 Februari ini bermula jam 9 pagi hingga 7 petang di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam.
Tambah beliau, terdapat pelbagai bahan bacaan sama ada yang baharu atau lama dalam Podcast Buku Karangkraf, mereka hanya perlu memilih dan boleh mendengar sinopsis.
"Kita baharu sahaja lancar hari ini dan saya berharap ia dapat menarik lebih ramai orang menggunakan aplikasi ini," jelasnya.
Ditanya mengenai Jualan Gudang Karangkraf 2023, beliau memberitahu, lebih 5,000 tajuk buku dijual termasuk novel seram, majalah masakan dan sebagainya.
"Kelebihan itu berjaya menarik orang ramai untuk datang. Mula-mula ingatkan kurang sebab bulan puasa dan sesi persekolahan akan bermula, mungkin mereka akan tertumpu untuk membeli keperluan tersebut.
"Bagaimanapun, alhamdulillah orang tidak putus-putus datang. Lagipun di sini pelbagai kemudahan disediakan antaranya tempat letak kenderaan, surau, dan ada jualan makanan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!