107 produk makanan tamat tarikh luput dirampas

Penguat kuasa BKKM JKNT ketika melakukan pemeriksaan di sebuah premis perniagaan dalam Operasi Khas Menjelang Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina. -Foto:JKNT
Penguat kuasa BKKM JKNT ketika melakukan pemeriksaan di sebuah premis perniagaan dalam Operasi Khas Menjelang Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina. -Foto:JKNT
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merampas 107 produk makanan yang telah tamat tarikh luput dalam Operasi Khas Menjelang Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina yang diadakan baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, dalam operasi itu sebanyak 50 bungkusan produk makanan melibatkan masalah tin kemik dan pembungkusan bocor serta rosak turut dirampas.

"Operasi dilakukan penguat kuasa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNT, semua produk yang dirampas adalah sebanyak 67.8 kilogram dengan nilai sitaan berjumlah RM1,177," katanya di sini pada Ahad.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan enam notis kesalahan kepada peniaga yang dikesan gagal mematuhi peraturan ditetapkan dengan nilai keseluruhan kompaun berjumlah RM19,500.

Menurutnya, daripada jumlah itu, empat notis kesalahan dikeluarkan di bawah Peraturan 14(9)(b) Pengkompaunan Kesalahan 2017 kerana menjual produk yang telah tamat tarikh luput.

Katanya, dua notis kesalahan pula dikeluarkan di bawah Peraturan 35 peraturan yang sama kerana menjual produk makanan berkaleng (tin) yang telah kemik dan pembungkusan bocor serta rosak.

"Dalam operasi ini, sebanyak 40 premis perniagaan melibatkan pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan pemborong bahan mentah telah diperiksa di mana sebanyak 8,049 item telah dipantau.

"Operasi dijalankan bertujuan memastikan makanan yang dijual di pasaran adalah selamat untuk dimakan dan mematuhi keperluan perundangan makanan sebagaimana ditetapkan peraturan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!