Buat laporan palsu untuk tuntutan insurans

Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.
Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang lelaki yang membuat laporan palsu berkaitan kejadian pecah kedai aksesori kereta untuk tuntutan insurans.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 39 tahun, kira-kira jam 1.09 petang, Jumaat.

"Lelaki yang juga pemilik kedai aksesori kereta itu mendakwa berlaku kejadian pecah kedai di Dataran Mentari yang melibatkan kerugian dianggarkan sebanyak RM600,000," katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, sepasukan polis bersama Unit Forensik Polis Diraja Malaysia bergegas ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut.

"Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati tiada kes jenayah berlaku di premis berkenaan.

"Soal siasat terhadap pengadu, dia mengaku tujuan laporan itu dibuat adalah untuk tuntutan insurans," katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap pengadu kerana membuat laporan palsu.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!