Op Selamat 19: Kelantan catat 407 kemalangan

Muhamad Zaki (dua dari kanan) memeriksa lori sempena Op Selamat 19 di Bukit Yong, Pasir Puteh.
Muhamad Zaki (dua dari kanan) memeriksa lori sempena Op Selamat 19 di Bukit Yong, Pasir Puteh.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 407 kes kemalangan dicatatkan sepanjang Op Selamat 19 sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan selama 10 hari di seluruh negeri ini bermula 18 hingga 27 Januari lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, daripada jumlah itu hanya 10 kes kemalangan maut yang direkodkan.

"Ia melibatkan 12 kematian dengan tiga daripadanya adalah penunggang motosikal.

"Hasil analisis Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik mendapati sebanyak 96 kes kemalangan berlaku disebabkan kecuaian ketika keluar, masuk simpang dan susur jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, sebanyak 67 kes melibatkan kegagalan melihat atau tidak menyedari kenderaan atau objek lain di hadapan sebelum bertindak memotong dan sebagainya.

Selain itu, katanya, mengekori terlalu rapat, terbabas sendiri dan leka atau mengantuk merupakan salah satu faktor penyumbang kepada kemalangan.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki memberitahu, seramai 49 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan termasuklah dadah (41), merempit (6) dan jenayah (2).

"Sebanyak 6,808 saman telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!