ASEAN kekal relevan meski berdepan krisis global

Jokowi. Foto AFP
Jokowi. Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo optimis bahawa ASEAN kekal relevan meskipun berdepan situasi global yang mencabar.

Beliau berkata, tidak mudah bagi Indonesia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini berikutan krisis ekonomi, tenaga, makanan dan perang sedang melanda dunia.

"Tetapi saya yakin bahawa ASEAN masih penting dan relevan bagi rakyat, negara dan dunia.

"ASEAN akan terus menyumbang kepada keamanan dan kestabilan di kawasan Indo Pasifik. ASEAN akan terus menjana pertumbuhan ekonomi," kata presiden yang lebih dikenali sebagai Jokowi ketika merasmikan Pembukaan Pengerusi ASEAN Indonesia 2023 di sini.

Beliau mengambil alih jawatan selaku pengerusi ASEAN daripada Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen November lalu di Phnom Penh dan akan mempengerusikan sidang kemuncak blok itu dengan tema "ASEAN Matters: Epicentrum of Growth”.

Menurut Jokowi, Indonesia akan terus memberi tumpuan untuk menggalakkan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi membantu menyelesaikan isu di Myanmar.

"Ya, kita konsisten supaya 5PC benar-benar dapat dilaksanakan,” katanya kepada media ketika ditanya mengenai isu berkenaan.

5PC itu ialah: menamatkan keganasan; mengadakan perbincangan konstruktif dengan semua pihak berkepentingan; ASEAN menyediakan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar; pelantikan duta khas ASEAN untuk melaksanakan rundingan; dan utusan khas terbabit dibenarkan melawat negara itu.

Myanmar terjerumus dalam pergolakan apabila ketua angkatan tentera Min Aung Hlaing menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi pada 1 Februari 2021.

Sementara itu, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi berkata, isu Myanmar tetap menjadi antara topik yang dibahas dalam pertemuan pertama Menteri Luar ASEAN di Jakarta pada awal Februari ini.

Bagaimanapun, Indonesia tidak mahu isu berkenaan merencatkan semua proses yang sedang berjalan di ASEAN terutamanya usaha mempercepatkan pembangunan komuniti.

Kerjasama membabitkan pebagai bidang termasuk kesihatan, tenaga, makanan dan kewangan juga akan dipertingkatkan agar Asia Tenggara dapat menjadi pusat pertumbuhan ekonomi, katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!