Jualan Gudang Karangkraf 2023 jadi pilihan beli bahan bacaan
SHAH ALAM - Tawaran diskaun dan banyak pilihan buku menjadi tarikan badan bukan kerajaan (NGO) ke Jualan Gudang Karangkraf 2023 bagi membeli bahan bacaan untuk disumbangkan kepada pelajar yang memerlukan.
Pengarah Belia Kelab Rotary Kuala Lumpur DiRaja, Syed Shah Redza Syed Mohamed Redza berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM3,000 untuk membeli pelbagai jenis bahan bacaan termasuk buku masakan dan ilmu agama.
Menurutnya, semua buku yang dibeli itu adalah untuk kegunaan pelajar di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Perpustakaan Kanak-kanak Kor Komuniti Rotary dan BRDB Rotary Children's Residence (BRCR) Seri Kembangan, Selangor.
"Karangkraf memang sinonim dengan menerbitkan buku yang berkualiti. Jadi apabila ada jualan murah, tanpa fikir panjang kami datang untuk membeli bahan bacaan yang diperlukan oleh pelajar.
"Kami percaya niat murni untuk berkongsi rezeki (membeli buku) akan memberi manfaat kepada mereka yang berumur empat hingga 18 tahun. Ilmu pengetahuan ini tidak pernah cukup dan sentiasa diperlukan," jelasnya pada Ahad.
Jualan Gudang Karangkraf 2023 kini kembali dengan menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan pada diskaun sehingga 80 peratus.
Ia diadakan pada 27 Januari hingga 6 Februari ini bermula jam 9 pagi hingga 7 petang di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam.
Tambah beliau, buku yang disumbangkan itu diharapkan dapat melengkapkan bahan bacaan yang sedia ada bagi menambah ilmu pengetahuan pelajar berkenaan.
"Kami harap pelajar dapat belajar dengan seronok apabila mendapat bahan bacaan ini kelak," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!