Kelantan United perkemas rentak di Lembah Klang

Kelantan United sedang giat membuat persiapan bagi menghadapi saingan Liga Super bulan depan.- Foto FB KUFC
Kelantan United sedang giat membuat persiapan bagi menghadapi saingan Liga Super bulan depan.- Foto FB KUFC
A
A
A

KELANTAN United FC (KUFC) akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan dua kelab dari Lembah Klang pada Selasa dan Khamis ini sebagai persiapan menghadapi Liga Super yang dijadual bermula pada 24 Februari ini.

Ketua Pegawai Operasi KUFC, Wan Mohd Zul Ikman berkata, aksi menentang KL City FC pada Selasa akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dan aksi menentang PDRM FC di Universiti Putra Malaysia, Serdang Khamis ini.

"Dua perlawanan pada Selasa (31 Januari) dan Khamis (2 Februari) diatur bagi memastikan persediaan pasukan pada tahap maksimum menjelang sepak mula saingan sebenar liga bulan depan.

"KUFC memilih kedua-dua pasukan itu kerana memiliki pemain-pemain yang berkualiti selain corak permainan yang bagus," katanya.

Wan Mohd Zul berkata, kedua-dua perlawanan itu juga akan menjadi platform kepada Ketua Jurulatih, Tomas Trucha memantapkan pasukan dari aspek permainan, kombinasi pemain serta menyesuaikan pemain dengan taktikal.

"Perlawanan ini membolehkan barisan kejurulatihan menyediakan pasukan dengan sebaik mungkin bagi menghadapi Liga Super musim ini.

"Keputusan kedua-dua perlawanan itu tidak penting, apa yang lebih penting adalah menilai kesemua aspek terutamanya kemampuan pemain import KUFC untuk musim ini," jelasnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!