PH beri pertimbangan terima pemimpin UMNO dipecat - Anwar
TAMBUN - Pakatan Harapan (PH) sedia mempertimbangkan penyertaan pemimpin UMNO yang dipecat untuk menyertai gabungan parti itu.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyertaan itu bagaimanapun perlu mendapat pandangan daripada pemimpin lain bagi menjaga kerukunan Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang permintaan untuk menyertai komponen dalam PH.
"Ini sebenarnya keputusan dalaman disiplin (parti) masing-masing tetapi tidak ada timbul lagi sebarang pelawaan untuk bersama.
"Sekiranya ada kita akan teliti dan tentunya mendapat pandangan pimpinan lain dan juga menjaga kerukunan, kedamaian dan juga Kerajaan Perpaduan. Kita beri pertimbangan yang lebih luas," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Jalan Meru Bestari A14, Meru Raya, di sini pada Ahad.
Pada Jumaat media melaporkan UMNO memecat bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!