Kedah uji keserasian di Turkiye
PASUKAN Kedah Darul Aman (KDA) FC akan ke Antalya, Turkiye untuk membentuk kesebelasan utama bermula 6 hingga 14 Februari ini bagi persediaan pasukan tersebut menghadapi Liga Malaysia musim 2023.
Jelajah pramusim 2023 itu menyaksikan pasukan kendalian Nafuzi Zain akan bertemu empat kelab yang bermain di Liga Perdana Uzbekistan, Liga Perdana Kazakhstan dan Liga Perdana Ukraine.
Pemilik saham majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, sepanjang 10 hari berada di Antalya, Sang Kenari akan bertemu pasukan FC Nasaf dari Uzbekistan pada 9 Februari, FC Shakter Karaganda dari Kazakhstan (10 Februari), FK Maqtaraal dari Kazakhstan (12 Februari) dan pasukan terakhir FC Metalist Kharkiv dari Ukraine (14 Februari).
"Ini adalah pengalaman pertama untuk Kedah. Mudah-mudahan ruang dan peluang ini dapat digunakan sebaik mungkin untuk mencari kesebelasan utama terbaik.
"Juga membina semangat dan jati diri serta menjadi pasukan yang mempunyai minda sebagai seorang juara," katanya dalam sidang media pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas pengumuman jelajah pramusim di Turkiye, rakan strategik dan rakan rasmi musim 2023 di Kedah Digital Library, dekat sini.
Mohd Daud berkata, perancangan pasukan sejak 6 Januari lepas akhirnya menjadi realiti dengan usaha keras pihak pengurusan untuk memastikan semua perancangan menyediakan Sang Kenari berwajah baharu dan mantap musim ini.
"KDA FC merancang untuk mengadakan penstriminan secara langsung (berbayar) dan akan ditawarkan kepada semua penyokong bola sepak untuk setiap perlawanan di Antalya, Turkiye.
"Sudah pasti perlawanan kali ini amat dinantikan memandangkan KDA FC merupakan antara pasukan yang menjalani jelajah pramusim di Eropah.
"KDA FC akan memaklumkan pakej langganan menarik dengan menawarkan pas akses untuk semua perlawanan dan juga pas akses untuk setiap perlawanan," ujar beliau.
Tambah Mohd Daud, Sang Kenari akan mengadakan majlis pelancaran jersi dan pengumuman penaja musim 2023 pada 18 Februari ini di Stadium Darul Aman.
Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik dirancang pada malam tersebut antaranya perlawanan legenda pemain bola sepak, pelancaran lagu KDA FC yang akan dibawakan oleh artis tempatan, pengumuman Dermasiswa KDA FC dan banyak lagi.
"Pemain legenda yang akan hadir ini pasti menggamit kenangan suatu masa dahulu, nama-nama besar akan hadir untuk mengimbau seteru dengan pasukan gergasi pada waktu 90-an dan sejarah bola sepak Kedah yang kaya dengan kejayaan lalu," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!