Piala Dunia: Dua penembak kebangsaan terkandas
DUA penembak kebangsaan, Johnathan Wong Guanjie dan Nurul Syasya Nadiah Mohd Arrifin gagal mempamerkan aksi terbaik mereka apabila masing-masing terkandas seawal pusingan kelayakan acara 10 meter (m) air pistol lelaki dan wanita pada saingan Piala Dunia Menembak 2023 di Indonesia, hari ini.
Menerusi laman sesawang kejohanan, issf-sports.org, pemenang pingat emas Sukan SEA Vietnam, Johnathan Wong didapati menamatkan cabaran di kedudukan ke-16 selepas hanya mengumpul 570 mata, sekali gus gagal menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik untuk mara ke pusingan ranking.
Pada aksi final 10m air pistol lelaki yang berlangsung di Jakarta itu, Mukhammad Kamalov dari Uzbekistan berjaya membidik emas manakala penembak Turkiye Ismail Keles merangkul perak diikuti penembak tuan rumah, Muhamad Iqbal Raia Prabowo di tempat ketiga.
Turut mengalami nasib sama adalah pemenang empat pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Nurul Syasya Nadiah yang sekadar menduduki tangga ke-14 selepas hanya melakukan bidikan 569 mata.
Penembak Korea Selatan Oh Ye Jin mengungguli acara 10m air pistol wanita, manakala Slyvia Steiner dari Austria di tempat kedua manakala pingat gangsa milik atlet Taiwan Liu Heng Yu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!