Sedekah vs Rasuah: Di Mana Bezanya?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEDARKAH kita, apa saja definisi yang berlegar di fikiran anda sama ada bantuan, sedekah, hadiah, pertolongan atau sebagainya, jika ia tidak kena pada waktunya, mungkin akan dikategorikan sebagai rasuah?

Definisi rasuah boleh ditakrifkan sebagai satu perbuatan tidak jujur ​​yang dilakukan oleh seseorang yang mempunyai kedudukan yang berkuasa, untuk mencapai keuntungan peribadi.

Contohnya, fenomena rasuah termasuk memberi dan menerima rasuah dan hadiah yang tidak sesuai, transaksi politik, manipulasi keputusan pilihan raya, pemindahan wang, pengubahan wang haram, menipu pelabur dan lain-lain.

Sedekah sebenarnya mempunyai maksud yang cukup luas dalam Islam.

Secara mudahnya, ia didefinisikan sebagai pemberian seseorang kepada orang lain yang memerlukan dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, sama ada pemberian itu ditujukan kepada fakir miskin, sanak saudara mahupun untuk kepentingan fisabilillah.

Dengan kata lain, sedekah itu adalah pemberian yang bebas, tiada jumlah atau barang yang ditentukan melalui pemberian ini.

Penerima yang biasanya serba kekurangan seperti fakir miskin atau anak yatim akan gembira dengan pemberian tersebut.

Maka si pemberi pula hanya mengharapkan pahala yang berlipat ganda tanpa memikirkan apa-apa lagi selepas pemberian itu dilakukan.

Secara jelas dan mudahnya, rasuah pula adalah pemberian sama ada dalam bentuk harta atau manfaat tertentu yang bertujuan untuk memperolehi sesuatu yang bukan haknya atau menzalimi hak pihak lain.

Rasuah adalah jenayah dalam bentuk penyalahgunaan jawatan yang diamanahkan untuk kepentingan peribadi, saudaranya atau ‘kroninya.’

Rasuah juga merangkumi kesalahan mengemukakan tuntutan palsu, memberi atau menawarkan rasuah, meminta atau menerima rasuah, sama ada dalam bentuk wang, hadiah, derma, komisen, diskaun, apa-apa harta atau perkhidmatan sebagai balasan untuk mendapatkan sesuatu di luar saluran sah di sisi undang-undang.

Punca utama rasuah dalam masyarakat adalah berikutan ketamakan peribadi. Manusia mempunyai sifat semula jadi dengan motif pemilikan, jadi punca rasuah kadang-kadang disebabkan oleh keinginan sesetengah orang terhadap wang dan kuasa secara mutlak, tanpa mengambil kira sempadan moral.

Selain itu, kesedaran yang rendah iaitu kurang kesedaran dan ketiadaan keberanian dalam kalangan manusia untuk menangani rasuah.

Tidak terkecuali, ada di antara mereka yang menutup mata atau berdiam diri terhadap rasuah, yang mendorong perasuah untuk lebih meneruskan kerja mereka, di samping kewujudan persekitaran budaya yang menggalakkan dan membenarkan rasuah.

Dalam sesetengah persekitaran, mengelak daripada tanggungjawab dan keupayaan untuk mencapai keuntungan peribadi melalui cara yang tidak sah boleh dilihat sebagai sikap yang ‘mengagumkan’.

'SEDEKAH' YANG PERLU DIHENTIKAN‘

Dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, telah jelas dan diterangkan secara terperinci, rasuah ketika menjelang pilihan raya, memberi dengan tujuan, untuk mendapatkan balasan, itu adalah tergolong dan didefinisikan sebagai rasuah.

Apa sahaja yang didefinisikan oleh seseorang, itu hak masing-masing, namun menurut akta, ia merupakan suatu kesalahan.

Untuk memenangi pilihan raya, terdapat segelintir ahli politik memberikan sogokan kepada pengundi-pengundi dengan apa definisi pun, seperti sedekah, hadiah dan sebagainya, dengan tujuan orang yang menerimanya itu mengundi calon-calon mereka yang mana seringkali dilakukan secara tertutup, terbuka mahupun bersumpah.

Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia Chapter, Datuk Seri Akhbar Satar menjelaskan, perkara sedemikian adalah tidak baik, bukan sahaja dari segi undang-undang, tetapi daripada sudut agama. Begitu juga dalam agama Islam, tidak boleh melanggar undang-undang.

Oleh yang demikian, jika sesuatu yang diberikan menjelang pilihan raya, ia dikategorikan sebagai rasuah.

KETIRISAN AKIBAT RASUAH

Seringkali sewaktu pemberian yang dilakukan oleh parti politik menjelang pilihan raya, sama ada secara terus terang atau sulit tentunya ada sesuatu yang terselindung apalagi apabila ada berkata “Jangan lupa undi kami.”

Apabila kata-kata sebegitu terkeluar kepada para pengundi, itulah menjadi sesuatu yang tidak kena dan tentunya ia menyalahi undang-undang Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Pembiayaan Politik.

Islam menganggap rasuah sebagai salah satu perkara yang merosakkan. Islam melarang rasuah, kerana ia dikemukakan untuk balasan yang mesti dibayar, dan dalam kembali kepada perbuatan dusta, maka hendaklah ditinggalkan rasuah dan menjauhinya.

Semua sedia maklum bahawa amalan rasuah memberi kesan yang buruk, bukan sahaja kepada individu bahkan juga terhadap masyarakat dan negara.

Antara kesan buruk kepada individu ialah seperti kejatuhan moral atau maruah, kehilangan pekerjaan, hilang kepercayaan masyarakat dan sebagainya.

Manakala antara kesan buruk rasuah terhadap masyarakat dan negara ialah seperti mengakibatkan ketidakadilan disebabkan menafikan hak-hak orang tertentu, melindungi dan menggalakkan jenayah, menjejaskan kecekapan dan integriti pentadbiran, menjejaskan sosial serta kestabilan politik dan keselamatan, menurunkan mutu dan kualiti kerja dan sebagainya.

Seseorang itu mengetahui bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga kerana matanya dikaburi oleh harta duniawi, imbuhan dan ganjaran yang banyak.

Begitu juga ia dilakukan akibat tekanan hidup seperti terlalu banyak hutang dan kurang bijak dalam gejala rasuah.

Hakikatnya, mereka yang melakukan rasuah didorong oleh sifat tamak untuk hidup mewah, menjana pendapatan lebih dan ingin hidup senang dan mudah. Rasuah menimbulkan banyak masalah serius dalam pembangunan ekonomi.

Sesungguhnya rasuah tidak pernah menjanjikan kesenangan yang sebenar walaupun kita beroleh keuntungan yang sangat besar daripadanya. Ketahuilah, hasil yang diperolehi melalui rasuah adalah haram dan tidak berkat.

Sanggupkah kita memberi makan dan minum kepada anak isteri serta keluarga kita daripada sumber yang haram? Ingatlah, memakan makanan daripada sumber yang haram maka nerakalah lebih utama baginya.

Hakikatnya, Islam telah mengharmonikan hubungan sesama manusia melalui pelbagai cara termasuklah dengan pemberian hadiah, derma atau sedekah, namun matlamat tidak menghalalkan cara.

Maka, jangan dibiarkan rasuah berselindung atas nama sedekah atau hadiah sehingga tujuan asal pemberian itu menjadi satu jenayah yang perlu dibanteras dengan sesungguhnya.

* Atriza Umar ialah Timbalan Setiausaha Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Islam Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!