Apabila kos hotel di Tanah Suci naik melambung
BARU-baru ini, keluarga Merak Jalanan diberi kesempatan menunaikan umrah di Tanah Suci.
Abang Merak Jalanan menceritakan pengalaman menaiki keretapi laju dari Madinah ke Makkah yang mengambil masa kira-kira tiga jam.
Di sebalik kegembiraan itu, kata abang Merak Jalanan, dia terkejut ketika tiba di Makkah apabila melihat ramai jemaah umrah Malaysia berhimpun di pekarangan beberapa buah hotel.
Apabila ditanya, rupanya pihak hotel telah menaikkan harga penginapan menyebabkan jemaah terpaksa menunggu rundingan antara pihak agensi dengan hotel selesai, baru boleh check-in.
Tidak hanya orang Malaysia, jemaah dari negara lain turut terpalit dengan masalah itu. Menurut kata abang Merak Jalanan, melihat jemaah berdiri kelesuan merupakan sesuatu yang perit untuk dikenang. Masakan tidak, rata-rata mereka merupakan warga emas.
Pun demikian, tiada ‘drama’ menyalahkan satu sama lain berlaku, sebaliknya ramai memegang tasbih sambil mulut terkumat-kamit berzikir. Wajah kepenatan jelas terpancar, tetapi mereka semua tetap reda.
Ketika situasi itu berlaku, berita mengenai kenaikan harga hotel di Madinah dan Makkah juga sedang hangat diperkatakan di negara kita.
Ia terjadi lantaran tukaran mata wang negara lebih rendah berbanding riyal, permintaan tinggi dan usaha memulihkan kembali perniagaan oleh pemain industri di Tanah Suci itu pasca Covid-19.
Perubahan harga pakej umrah pada saat akhir mungkin disebabkan tiada hitam putih dalam perjanjian antara agensi tempatan dan penyedia perkhidmatan di Tanah Suci.
Merak Jalanan percaya rakyat Malaysia memahami situasi tersebut, namun pada masa sama, berharap kerajaan dapat mencari kaedah terbaik menangani sebaiknya.
Semoga perbincangan menteri kita dengan menteri di Arab Saudi akan memberi perkhabaran gembira buat bakal jemaah kita pada tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!