Rakyat perlu berwaspada kerana Covid-19 masih ada
BENAR, kes jangkitan Covid-19 di negara ini semakin mengecil. Ramai yang menarik nafas lega, bahkan rata-rata rakyat Malaysia sudah berani tidak memakai pelitup muka walaupun di tempat yang sesak dengan orang ramai.
Namun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terus menerus mengingatkan supaya kita semua tetap berwaspada dengan virus maut ini.
Agak mengecewakan apabila China enggan berkongsi data sebenar lonjakan kes semasa yang berlaku, sedangkan beberapa hospital dan bilik mayat di negara itu dikatakan berdepan kesesakan luar biasa.
Jumlah kematian yang dicatatkan didakwa hanya melibatkan rumah sakit, sementara di kawasan desa termasuk pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di rumah, sebahagian besarnya tidak dimasukkan dalam statistik.
BBC pada 26 Januari lalu melaporkan, para pembuat keranda di daerah Shanxi masih tidak berehat kerana tempahan peti mayat meningkat secara mendadak. Merujuk laporan Time, varian Omicron telah berubah menjadi lebih daripada setengah dozen strain yang berbeza.
Terbaharu adalah BQ.1.1, XBB.1 dan XBB.1.5. Kesemua varian itu kini menyumbang hampir 90 peratus daripada jangkitan Covid-19 baharu di Amerika Syarikat.
Tiada vaksin khusus, sebaliknya formulasi bivalen penggalak satu-satunya yang tersedia pada masa ini direka untuk varian Omicron BA.4 dan BA.5 yang tidak lagi menular secara meluas.
Di Malaysia, Kementerian Kesihatan menggalakkan orang ramai mendapatkan suntikan dos penggalak kedua sebagai usaha mengelakkan penularan berlaku.
Bagaimanapun, ia tidak mendapat sambutan dan setakat 10 Januari lalu, hanya 2.1 peratus penduduk mendapatkannya.Virus sentiasa berubah atau bermutasi.
Bukan sahaja China, malah negara lain seperti Jepun, Brazil, Jerman dan Korea Selatan juga bergelut dengan peningkatan kes.
Hanya dos penggalak merupakan salah satu strategi negara melakukan transisi daripada pandemik ke fasa endemik. Jangan leka, kita masih perlu berwaspada.
Untuk melindungi diri sendiri, setiap individu perlu memainkan peranan dengan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.
Jangan sudah terhantuk, baru nak tengadah. Bukan bertujuan menakut-nakutkan rakyat, sebaliknya sebagai langkah pencegahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!