Tiga hari terdampar di pulau tanpa pakaian, makanan
KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Badan membeku sehingga mulut tidak boleh dibuka pada waktu malam manakala pada waktu siang terpaksa biarkan badan 'dibakar' sinar matahari terik.
Itu yang berlaku kepada seorang nelayan, Jaikon Majumban, 52, yang dilaporkan terperangkap di Pulau Batu Laya-Laya, Kota Marudu, selama tiga hari sebelum diselamatkan pada Jumaat lalu.
Jaikon berkata, dia sendiri tidak tahu bagaimana boleh bertahan dalam tempoh sepanjang terperangkap di pulau berkenaan apatah lagi tanpa sebarang pakaian, makanan serta minuman.
"Ketika hujan, saya tak dapat tadah air kerana ribut kuat. Setiap malam ibarat berada dalam peti sejuk, semua sendi kaku, malah mulut tak dapat dibuka kerana terlalu sejuk. Bila siang, badan dibakar oleh sinar matahari.
"Pulau itu langsung tiada tempat berlindung dan saya hanya duduk di atas batu untuk elak dipukul ombak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Ditanya bagaimana dia hanyut sehingga ke pulau itu, Jaikon berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang menyeberang muara sungai untuk membersihkan botnya.
"Ketika berada di tengah muara sungai, air dan banjir besar datang sehingga saya dipukul sebatang kayu sebesar paha dan dari situ saya tergulung mengikut ombak.
"Saya timbul kira-kira tiga minit kemudian tetapi bukan lagi berada di muara sungai sebaliknya sudah berada di tengah laut," katanya.
Tambah Jaikon lagi, dia kemudian berenang sambil menjerit untuk mendapatkan bantuan tetapi tiada siapa yang dapat menyelamatkannya ketika itu.
"Saya berenang sekuat hati sambil berteriak dan terminum air laut sehingga tiba di pulau itu. Saya cuba naik tetapi kerap dipukul ombak sebesar rumah.
"Kaki mulai kejang tetapi saya berusaha juga memanjat batu setinggi kira-kira 12 meter. Jika diikutkan jarak pulau itu dari muara hampir dua kilometer tetapi disebabkan angin kuat serta ribut menyebabkan tiada penduduk kampung menyedari saya berada di pulau terbabit," katanya.
Cerita Jaikon lagi, dia terpaksa menanggalkan semua pakaian dan kasut untuk memudahkan pergerakan ketika berenang.
"Alhamdulillah, saya kini semakin sihat tetapi belum lagi dibenarkan keluar dari Hospital Kota Marudu kerana masih mendapatkan rawatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!