[VIDEO] 'Adakah tiada MKT UMNO boleh berfikir tindakan presiden salah?'
ALOR SETAR - Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO didakwa tidak berfungsi untuk menegur tindakan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam membuat keputusan yang disifatkan merugikan parti tersebut.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, MKT UMNO perlu menasihatkan pimpinan utama parti dalam membuat keputusan tepat kerana mereka menggalas amanah lebih 140,000 perwakilan untuk membantu parti.
"Dalam MKT ada lebih 50 orang ahli yang dipilih oleh perwakilan. Adakah tidak ada MKT yang boleh berfikir bahawa tindakan yang dibuat oleh presiden adalah tindakan yang salah.
"Tidak apa kalau nak pecat tapi macam saya tidak pernah dapat surat tunjuk sebab, tidak dipanggil Lembaga Disiplin UMNO dan tidak dimaklumkan apa-apa kesalahan saya pun. Tiba-tiba dalam satu makluman majlis tertinggi saya telah digantung.
"Macam Tan Sri Noh Omar kata, nak gantung buat apa dah umur 60 tahun, pecat terus senang," katanya kepada pemberita selepas ditemui di Bukit Pinang, dekat sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas keputusan MKT UMNO memecat keahlian bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli MKT, Tan Sri Noh Omar.
MKT UMNO turut memutuskan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang digantung enam tahun.
Sebelum ini, Mohd Yusof turut mengesahkan beliau digantung keahlian parti selama enam tahun pada September tahun lalu.
Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, 'pembersihan' yang dilakukan oleh UMNO telah mengecilkan lagi kekuatan dan kepercayaan orang ramai kepada parti itu selepas membuang pemimpin yang dianggap berpontensi besar pada masa hadapan.
Menurutnya, parti tersebut perlu menggunakan pendekatan lain untuk memperkuatkan kembali UMNO selepas kehilangan banyak undi pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) dan bukan dengan pemecatan dan penggantungan ahli.
"Saya melihat sistem yang digunakan oleh Presiden ini adalah memecat keahlian seseorang pemimpin UMNO kerana bersuara. Sepatutnya dia ada pendekatan lain yang boleh dibuat selain daripada memecat. Banyak lagi Cara yang boleh dibuat.
"Contohnya KJ (dipecat) dan Shahril (digantung) antara ikon orang muda yang berjaya menarik orang muda," ujarnya yang digantung keahlian selama enam tahun pada tahun lalu.
Tambahnya, ramai perwakilan dan Ketua UMNO di semua peringkat menyuarakan kebimbangan dengan apa yang sedang berlaku di dalam parti keramat orang Melayu itu terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan di enam negeri selepas ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!