Tiga lelaki termasuk remaja didakwa lakukan pemerasan

Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Bahau atas pertuduhan melakukan pemerasan.
Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Bahau atas pertuduhan melakukan pemerasan.
A
A
A

JEMPOL - Tiga lelaki termasuk seorang remaja didakwa di Mahkamah Majistret Bahau, pada Isnin atas dakwaan melakukan pemerasan terhadap seorang peniaga pada minggu lalu.

Ketiga-tiga mereka Mohamad Fairul Mohd Alwi, 23, Mohamad Emran Faiz Yahya, 28, dan seorang remaja berusia 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang lelaki berusia 24 tahun untuk menyerahkan wang sebanyak RM14,000.

Perbuatan itu dilakukan sebuah rumah di Felda Serting Hilir 5, jam 1 pagi pada 23 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Majistret kemudian membenarkan Mohamad Fairul dan Mohamad Emran diikat jamin RM11,000 setiap seorang manakala seorang lagi tertuduh berusia 17 tahun diikat jamin RM4,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan pada 3 Mac depan bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya,Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas pertuduhan mencederakan peniaga sama.

Media sebelum ini melaporkan seorang peniaga dipukul dengan batang cangkul,penyapu dan getah paip selepas didakwa melakukan hubungan sulit dengan isteri orang.

Selain dipukul, wang milik peniaga berkenaan turut dikebas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!