Pelantikan Nurul Izzah undang perdebatan di media sosial

Nurul Izzah
Nurul Izzah
A
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengundang pendebatan dalam kalangan pengguna di media sosial pada Ahad.

Rata-rata mempunyai pandangan yang berbeza mengenai isu tersebut apabila sebahagiannya bersetuju kerana yakin pengalaman dan pendidikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sesuai dengan jawatan tersebut.

Pemilik akaun Twitter @Chabaluddin berkata, tidak ada salahnya jika Nurul Izzah memegang jawatan berkenaan sekiranya beliau mempunyai kapasiti dan pengalaman.

“Nurul Izzah ada intergriti, kalau dia boleh menyumbang kenapa tidak? Atas kapasiti dan pengalaman,” katanya dalam ciapan di Twitter pada Isnin.

Pada Ahad, Nurul Izzah mendedahkan beliau telah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa pada 3 Januari lalu.

Bagaimanapun, ada yang tidak bersetuju dengan pelantikan tersebut kerana mendakwa tindakan itu akan mengundang kritikan kepada Perdana Menteri sendiri.

Menurut pemilik akaun Twitter @3Nilai, orang ramai didakwa mempertikaikan pelantikan Nurul Izzah itu kerana percaya terdapat unsur nepotisme, iaitu dasar yang ditentang oleh Anwar sebelum ini.

“Orang tak pertikai kelayakan, yang jadi isunya anak-beranak. Mana prinsip Datuk Seri (Anwar) yang selama ni menentang kroni dan nepotisme?” soalnya.

Di samping itu, pemilik akaun Twitter @berrirogers berkata, pelantikan tersebut juga boleh memberi kesan terhadap Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.

“Bukan langkah yang cantik. Kenapa Anwar tidak boleh tunggu sehingga PRN selesai dahulu?

“Nurul Izzah sila berhenti jika mahu PH-Barisan Nasional (BN) menang dengan jayanya dalam enam PRN nanti,” menurutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!