Pelantikan Nurul Izzah tak wajar, bawa konflik kepentingan
SHAH ALAM - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan disifatkan tidak wajar serta membawa kepada konflik kepentingan.
Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, mengambil contoh kepimpinan di negara jiran, jawatan tersebut seharusnya diberikan kepada individu yang tidak memiliki ikatan kekeluargaan.
“Di Indonesia, Presiden Jokowi melantik tujuh anak muda milenial sebagai penasihat di pejabat presiden dan melantik seorang Menteri Kewangan yang disegani dunia.
“Di negara Madani, Perdana Menteri melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan dan melantik anaknya sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada dirinya,” ujar Ahli Parlimen Bachok itu dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Anwar menegaskan pelantikan Nurul Izzah itu adalah berdasarkan pencapaian merit dan kelayakannya kerana memiliki ijazah dalam dasar awam merangkumi ekonomi, politik dan sosial dari Johns Hopkins School of Advanced International Studies, sebuah universiti di Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, Syahir menambah, jawatan penasihat kanan itu sebenarnya boleh diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Jelas beliau, perkara tersebut adalah lebih baik memandangkan Anwar kini merupakan antara pemegang taruh kepada nilai integriti dalam pentadbiran kerajaan.
“Dalam keadaan ekonomi negara berdepan masalah defisit fiskal yang menjurang, Perdana Menteri tidak boleh membuka ruang kepada defisit kepercayaan yang semakin melebar dalam kalangan rakyat, pelabur, apatah lagi sesama parti komponen sekutunya dalam kerajaan campuran.
“Sukacita diingatkan, demokrasi, reformasi dan integriti adalah tunjang bagi pembentukan sebuah negara Madani, perlukan komitmen dan tindakan, bukan slogan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!