Pemilihan kepimpinan IPT, agensi diperketat - Khaled Nordin
PUTRAJAYA - Pemilihan kepimpinan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menyaksikan satu proses yang ketat, teliti dan objektif.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khalid Norden berkata, langkah tersebut bagi memastikan sektor pendidikan tinggi berfungsi dengan efisien dan cemerlang.
"Proses ketat ini kerana kita mahu mencari tokoh paling layak dan berwibawa," katanya dalam ucapan Amanat Tahun Baharu di KPT dekat sini pada Isnin.
Menurutnya, pemilihan pimpinan IPT dan agensi akan menjadi satu proses pencarian terbuka dan mengutamakan mereka yang memahami aspirasi nasional.
"Kita mahukan semua kepimpinan IPT, terutamanya Naib Canselor serta timbalan mereka, menjadi pemimpin yang berkesan," katanya.
Beliau berkata, pemimpin yang mengurus dan memimpin dengan harmoni mampu membongkar segala potensi dalam insititusi yang dipimpin.
Tambahnya lagi, semua perkara harus dipacu dengan kepimpinan yang baik kerana pembaharuan hanya akan terbit daripada kepimpinan kompeten dan dihormati.
"Pemimpin yang baik, akan membuahkan natijah yang baik. Ini adalah mesej tegas saya kepada semua pemimpin institusi pendidikan tinggi," katanya.
Dalam pada itu Mohamed Khalid mengingatkan naib canselor semua IPT memikul empat tugas utama iaitu menjadi jurucakap utama institusi ilmu dalam isu nasional.
Katanya, mereka juga perlu menawarkan solusi kepada pelbagai permasalahan kebangsaan, menggemblengkan kebijaksanaan dimiliki dengan memberikan saranan kebaikan kepada bangsa dan negara.
"Kerajaan tidak melabur ratusan juta ringgit setiap tahun untuk golongan cerdik pandai hanya berdiam diri di menara gading," katanya.
Ujar Mohamed Khalid, golongan itu juga perlu membangunkan pelbagai jaringan strategik untuk kepentingan universiti, selain meraih dana, waqaf dan apa jua sumbangan bagi memastikan universiti mandiri dari segi kewangan serta pembangunan prasarana.
Beliau berkata, pemimpin universiti juga harus menjadi katalis yang membongkar pelbagai bakat, mengetengahkan peranan pemimpin wanita dan bakat muda daripada pelbagai latar belakang, di samping berupaya menjadi inspirasi kepada mahasiswa, pensyarah dan profesor.
"Saya sedar universiti bukan milik mana-mana individu, apatah lagi milik menteri. Universiti adalah amanah bangsa. Kemuliaannya sebagai gedung ilmu mesti dipertahankan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!