Tiga lelaki didakwa cederakan peniaga
KUALA PILAH - Tiga lelaki termasuk seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang peniaga pada minggu lalu.
Ketiga-tiga mereka Mohamad Fairul Mohd Alwi, 23, Mohamad Emran Faiz Yahya, 28, dan seorang pelajar berusia 17 tahun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma ismail.
Berdasarkan pertuduhan, mereka bersama-sama pada 23 Januari lepas jam lebih kurang 1 pagi di sebuah rumah di Felda Serting Hilir 5, Jempol dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang lelaki berusia 24 tahun menggunakan sebatang kayu penyapu, cangkul dan getah paip.
Disebabkan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hakim kemudian membenarkan Mohamad Fairul dan Mohamad Emran diikat jamin RM6,000 setiap seorang manakala seorang lagi tertuduh berusia 17 tahun diikat jamin sebanyak RM2,000, masing-masing dengan seorang penjamin.
Semua jaminan itu dengan syarat tambahan tidak boleh mendekati saksi-saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan pada 6 Mac depan bagi sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum itu, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Majistret Bahau atas dakwaan melakukan pemerasan terhadap seorang peniaga sama dan tidak mengaku bersalah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!