ECRL: Muatan kargo lebih untung berbanding penumpang
KUALA LUMPUR - Segmen muatan kargo akan muncul sebagai sektor yang lebih menguntungkan berbanding aliran penumpang menerusi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berikutan kelebihan laluan darat memacu transaksi penghantaran serta memendekkan tempoh perjalanan secara ketara di antara Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan.
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin berkata, muatan kargo itu akan menyumbang kira-kira 70 peratus kepada hasil berbanding aliran penumpang sebanyak 30 peratus berikutan masa perjalanan lebih singkat serta kebergantungan lebih tinggi sebagai kaedah atau mod pengangkutan.
"ECRL itu menyediakan jambatan darat yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan dan memendekkan tempoh perjalanan antara kedua-dua pelabuhan itu kira-kira 30 jam.
“Berikutan itu, ECRL menyediakan alternatif penghantaran atau pemindahan barangan yang lebih pantas di antara kedua-dua pelabuhan itu berbanding laluan laut yang memakan masa lebih lama," katanya dalam temu bual bersama Bernama pada Khamis.
Daim berkata demikian sebagai mengulas perkembangan membabitkan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara pemilik projek, Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan rakan usaha sama China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bagi mengurus, mengoperasi dan menyelenggara rangkaian rel ECRL yang akan dibina pada kos lebih rendah.
Beliau yang juga wakil khas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan berjaya memuktamadkan ECRL selepas rundingan selama sembilan bulan, berkata laluan rel itu akan turut menghubungkan Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang dengan pelbagai hab industri, pelabuhan, kawasan tumpuan pelancongan dan ibu negeri di Pantai Timur.
Proses itu akan merangsang pertumbuhan baharu di sepanjang koridor ECRL yang memerlukan kaedah pengangkutan yang dipecayai bagi penghantaran barangan serta pengangkutan penumpang.
"Kami menjangkakan muatan kargo itu menjadi penyumbang utama ECRL...namun apabila pembangunan di sepanjang laluan rel dan Pantai Timur meningkat, maka aliran penumpang juga secara automatik akan turut bertambah," katanya.
Mengulas aliran penumpang itu, Daim berkata: "kita merujuk mereka yang akan melawat ahli keluarga atau kalangan pelancong yang kini diberi pilihan menggunakan kemudahan pengangkutan alternatif untuk ke Pantai Timur.
“Atas alasan itu, kita juga harus memastikan harga-harga tiket itu adalah berpatutan.”
Jelas Daim, demi merancakkan aliran penumpang itu, kerajaan PH telah memutuskan untuk melakukan penjajaran semula ECRL agar melalui Putrajaya Sentral.
Keputusan itu disifatkan beliau sebagai berpandangan jauh kerana menghubungkan Pantai Timur dengan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang sememangnya penting bagi tujuan perniagaan.
"Langkah ini akan turut membantu meningkatkan lagi jumlah penumpang bagi ECRL tersebut,” katanya.
Menurut Daim, projek ECRL itu kini akan merentasi lima negeri - Selangor-Wilayah Persekutuan-Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan di bawah perjanjian yang dinilai semula berbanding empat negeri dalam perancangan asal.
Ini secara langsung akan membolehkan lebih ramai penduduk berpeluang merasai kesan limpahan daripada projek ECRL itu, kata beliau.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!