Padah bina bangsal, parkir kenderaan di tengah jalan
KUANTAN - Tindakan seorang individu yang membina bangsal di tengah jalan di taman perumahan Seri Mahkota untuk dijadikan tempat letak kenderaan mengundang padah.
Perbuatan itu disedari Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) ketika menjalankan pemeriksaan di kawasan itu dan memuat naik beberapa foto yang memaparkan sebuah van di parkir di tengah jalan terbabit menerusi laman Facebook rasminya.
MBK menerusi hantaran itu menganggap perbuatan itu sebagai tindakan luar biasa.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal menjelaskan notis arahan pengalihan telah dikeluarkan selama tujuh hari ke atas pemilik kenderaan terbabit.
"Jika pihak pemilik kenderaan atau pihak berkaitan gagal mematuhi notis tersebut, tindakan sitaan bakal diambil.
"Kadar sitaan kita kenakan sebanyak RM100 sehari sehingga pemilik atau pihak berkaitan menebus kenderaan ini," kata ringkas ketika dihubungi pada Isnin.
Hantaran dan beberapa gambar yang dimuat naik oleh MBK mendapat lebih 500 komen dan 188 perkongsian daripada warga maya itu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengecam tindakan berkenaan dan ada yang menganggapnya sebagai 'kerja gila'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!